Kesaksamaan gender tiada kaitan dengan KDNK

Kesaksamaan gender tiada kaitan dengan KDNK

Adun Yeo Bee Yin berkata negara boleh kaya tanpa wanita tetapi boleh menjadi lebih kaya jika lebih ramai wanita mengambil bahagian

Yeo-Bee-Yin_kdnk_ringgit_offce00_new
KUALA LUMPUR:
Adun Yeo Bee Yin dari Selangor tidak bersetuju mengaitkan kesaksamaan jantina dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Apabila terdapat kesaksamaan jantina tidak bermakna KDNK negara akan berkembang. Begitu juga sebaliknya, apabila KDNK meningkat tidak bermakna kesaksamaan jantina akan jadi lebih meluas.

“Korelasi positif tidak bermakna pertumbuhan akan berlaku,” kata Yeo di forum Mencadangkan Kerusi Tambahan Hanya Untuk Wanita di sini hari ini.

Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu menjadikan Jepun sebagai contoh sebuah negara maju yang mempunyai kadar kesaksamaan jantina yang rendah tetapi berjaya membina sebuah negara yang kaya, makmur dan mampan.

Bagaimanapun, beliau menambah, Jepun kini berdepan masalah pasaran tenaga kerja kerana mereka mempunyai penduduk yang menua dan kini mengambil langkah meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi.

Yeo kemudian mempersoalkan adakah masyarakat jenis itu yang negara mahu kerana matlamat tersebut juga boleh dicapai dengan penyertaan lebih ramai wanita dalam pembangunan ekonomi dan politik.

“Kita juga boleh menjadi sebuah negara kaya tanpa wanita menjadi sebahagian daripadanya. Tetapi saya percaya kita boleh menjadi negara yang lebih kaya jika lebih ramai wanita mengambil bahagian,” kata Adun Damansara Utama itu.

Beliau merujuk kepada cadangan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) mengenai jantina dan reformasi pilihan raya untuk meningkatkan bilangan wanita dalam bidang politik dan menyediakan sistem kuota minimum 30% untuk bertanding dalam pilihan raya.

Walaupun Yeo bersetuju dengan cadangan kuota tersebut, beliau berkata tindakan afirmatif tertentu perlu diambil.

“Apa-apa tindakan afirmatif perlu bersifat sementara kerana jika tidak, akan ada golongan yang berhempas pulas di lapangan yang tidak rata dalam jangka masa panjang,” kata Yeo.

“Bagi saya ia perlu beransur-ansur.

“Jadi, jika anda serta-merta mahu 30%, daripada 10% terus ke 30%, dari mana anda nak dapatkan calon wanita?”

Ahli panel lain yang hadir di forus ini ialah pensyarah sains politik Dr Wong Chin Huat, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dan peguam Syahredzan Johan.

Menurut Forum Ekonomi Dunia 2016, Malaysia menduduki tangga ke-106 daripada 144 negara daripada segi jurang jantina.

Ini meletakkan Malaysia di belakang bukan sahaja negara Barat tetapi juga Kazakhstan (51), Azerbajian (86), Tajikistan (93), Bangladesh (72), India (87), China (99), Indonesia (88), Vietnam (65) , Thailand (71) dan Brunei (103).

Di Malaysia, buat masa ini hanya 1 daripada 10 wakil rakyat adalah wanita berbanding dengan purata dunia iaitu 1 daripada 5.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.