
Ketua Polis Serdang, Megat Mohamad Aminuddin Megat Alia berkata kejadian berlaku pada kira-kira 10 malam tadi, dan berkait dengan siasatan polis dalam kes rogol dan samun di sebuah premis cybercafe di Bandar Kinrara, Puchong, 11 Mei lalu.
Video kejadian rogol itu tular di media sosial dan mengundang kemarahan ramai pihak, termasuk daripada Ahli Parlimen Segambut, Lim Lim Eng, yang mahu ketua polis Serdang meletak jawatan kerana masih gagal membanteras pusat perjudian haram di daerah Serdang.
Menceritakan insiden semalam, Megat Aminuddin berkata polis mengetuk pintu pangsapuri beberapa kali sambil memperkenalkan diri tetapi penghuni enggan membuka pintu, memaksa polis memecahkan mangga.
“Polis kemudian mendapati seorang lelaki India sedang bergayut di grill bahagian luar dapur untuk turun ke unit bawah tujuan melarikan diri. Pasukan serbuan telah memujuk lelaki India tersebut untuk masuk ke dalam dan menyerah diri tetapi lelaki India tersebut enggan berbuat demikian.”
Menurutnya, lelaki itu tiba-tiba terjatuh ke bawah. Lelaki yang masih bernyawa itu kemudian dibawa ke hospital dalam masa 30 minit tetapi meninggal dunia di hospital.
Megat Aminuddin berkata kes tersebut diklasifasikan sebagai “kematian mengejut”.