Irwan Serigar dilantik pengerusi Bandar Malaysia, TRX City

Irwan Serigar dilantik pengerusi Bandar Malaysia, TRX City

Najib Razak berkata, kerajaan akan mengumumkan proses permintaan untuk cadangan, mempelawa mereka yang berpotensi menjadi pemaju induk Bandar Malaysia.

irwan-siregar
PETALING JAYA:
Perdana menteri hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai pengerusi baharu TRX City dan Bandar Malaysia.

Dalam kenyataan mengumumkan “Pencapaian seterusnya Bandar Malaysia”, Datuk Seri Najib Razak berkata, perjanjian dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC) sudah muktamad.

“Beliau akan mengetuai pasukan dengan tanggungjawab keseluruhan untuk projek-projek ini dan pengewangan baki aset hartanah 1MDB. Selain itu, dalam usaha untuk memastikan negara dan rakyat mendapat manfaat sebanyak mungkin, Kementerian Kewangan akan mengekalkan pemilikan 100% Bandar Malaysia.

“TRX City dan Bandar Malaysia sebentar lagi akan mengumumkan permintaan untuk cadangan (RFP), mempelawa mereka yang berpotensi untuk peranan pemaju induk Bandar Malaysia. Bertentangan beberapa laporan salah, penamatan perjanjian sebelum ini adalah muktamad, dan ia tidak akan dibuat semula,” kata Najib sambil menambah Jawatankuasa Budiman yang ditubuhkan pada 2015 untuk menyelia program rasionalisasi 1MDB akan berakhir.

Awal minggu ini, konsortium IWH-CREC dilaporkan mungkin masih berpeluang meneruskan perjanjian itu berdasarkan rundingan dengan perdana menteri dan pegawai China di Beijing.

Kenyataan Najib itu turut bercanggah dengan laporan Kumpulan Wanda dimiliki orang terkaya di China, Wang Jianlin, sudah dalam perbincangan untuk mengambil alih projek pembangunan hartanah Bandar Malaysia.

TRX City yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate, merupakan anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Pada 3 Mei lalu, TRX City mengumumkan perjanjian jualan saham yang dimeterai dengan IWH-CREC pada 2015 membabitkan penjualan 60% daripada modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia sudah luput dan terbatal kerana “gagal memenuhi obligasi pembayaran”.

Susulan pengumuman itu, Kementerian Kewangan berkata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy disingkirkan sebagai pengerusi Bandar Malaysia dan Lembaga Pengarah TRX City.

Sementara itu, Najib meletakkan kepercayaan kepada Irwan yang juga pengerusi 3 anggota Lembaga Pengarah 1MDB untuk membantu pembangunan Bandar Malaysia.

“Walaupun kita semua boleh berbangga dengan bandar itu hari ini, saya mempunyai visi lebih besar – sebuah bandar yang akan menjadi satu daripada ibu kota terkemuka di dunia, memacu transformasi negara. Bandar Malaysia ialah kunci kepadanya.”

Najib berkata, Bandar Malaysia akan menjadi sebuah pusat bandar baharu untuk Kuala Lumpur dan “komuniti baharu yang berkualiti bagi anak muda dan keluarga untuk membina kehidupan, pusat baharu yang berkembang maju untuk perniagaan besar dan kecil, serta destinasi baharu yang menarik bagi mereka, termasuk pelancong yang mahu menghayati kesenian, kebudayaan dan semua yang boleh ditawarkan Malaysia”.

Fungsi Bandar Malaysia sebagai hub pengangkutan negara akan menghubungkan Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR), MRT, KTM Komuter, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan 12 lebuh raya.

“Berdasarkan kepentingan projek ini, ia adalah kritikal untuk Bandar Malaysia mempunyai kepimpinan, rakan kongsi dan struktur pemilikan betul untuk memastikan potensi penuhnya direalisasikan – untuk memenuhi kepentingan rakyat dan negara,” kata Najib.

Arul Kanda akan terima keputusan lembaga Bandar Malaysia, TRX

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.