
Tinjauan FMT mendapati ia bukanlah rahsia, malah penduduk sudah lama bertahan dengan gejala tersebut.
Di Felda Gedangsa di sini, sebuah penempatan dengan jumlah peneroka 581 orang, penduduk rata-rata mahu polis meningkatkan penguatkuasaan di kawasan mereka.

Ketua Peneroka Felda Gedangsa Sahrom Hashim, 62, berkata selain dadah “ice” yang dijual pada harga lebih mahal daripada dadah lain, air ketum juga menjadi kegemaran.
Kawasan yang menjadi sasaran penagih selalu di ladang kelapa sawit.
“Bila pekerja keluar pada petang, pukul 5 dan 6 petang, penagih pula yang masuk sampai ke Maghrib dan keluar beramai-ramai.

“Ini yang jadi permasalahan kita. Kawasan mereka tersembunyi,” kata Sahrom.
Masalah penagihan dadah di kalangan warga Felda didedahkan baru-baru ini oleh polis Negeri Sembilan yang mendapati permintaan terhadap dadah sintetik atau syabu di kalangan anak peneroka Felda di negeri itu kian meningkat.
Ketagihan kronik terhadap dadah mahal ini dikatakan turut menjadi antara penyumbang kepada berlakunya pelbagai kes jenayah termasuklah pecah rumah, samun dan ragut bagi membolehkan pelakunya memperoleh mendapatkan bekalan.
Permintaan dadah jenis syabu hampir menyamai permintaan dadah jenis heroin yang sebelum ini lebih popular di kawasan Felda disebabkan sifat mahu mencuba dan merasa pelbagai jenis dadah.

Bagaimanapun, pendedahan polis berkenaan bukan sesuatu yang baharu menurut sebuah pertubuhan yang giat memperjuangkan nasib masyarakat peneroka itu.
Menurut Mazlan Aliman yang mengetuai Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), gejala penagihan dadah di kalangan anak peneroka Felda sudah berlaku sejak sekian lama dan masih gagal dibentung walaupun usaha dilakukan pelbagai agensi.
Sahrom berkata apa yang menyukarkan usaha membanteras penagihan dadah di kawasan Felda adalah tabiat penagih yang berpindah-randah.
“Susah untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan polis nak tangkap mereka. Kena bermalam di balai dan sebagainya,” katanya.
Sahrom menjelaskan, kebanyakan yang menghisap dadah dalam lingkungan umur 35-50 tahun.
Beliau berharap pihak berkuasa memantau pergerakan bekas penagih yang keluar dari pusat pemulihan agar mereka tidak kembali kepada tabiat itu.

Sementara itu, di sebuah lagi kawasan Felda yang dilawati FMT, penyalahgunaan dadah lebih berleluasa di kalangan mereka yang berusia termasuk yang berumur 60 tahun.
Menurut Ketua Peneroka Felda Soeharto, Abdul Halim Sajim, 61, mereka yang “otai” sahaja menghisap dadah di penempatan itu yang mempunyai seramai 653 peneroka.
“Saya ingat tak ramai dah, dalam 10 orang yang otai (yang menghisap dadah),” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga di Felda Gedangsa, Rozita Md Hayat, 48, ramai yang mempunyai tabiat menghisap dadah di kawasan berkenaan terlibat dalam jenayah kecil.
Katanya, “kerja” yang mereka lakukan bagi mendapatkan wang membeli dadah termasuk mencuri kelapa sawit, pisang dan kelapa dalam kuantiti yang kecil.
“Macam orang kerja ladang mungkin balik pukul 2 atau 3, lepas tu petang tak ada orang dekat ladang.
“Mereka tak pecah masuk rumah tapi tiap-tiap hari mereka boleh dapat duit.
“Mereka ni ambil pun tak banyak. Ambil sikit-sikit. Dia bukan ambil pakai lori pun, pakai motor,” katanya.