
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, kejadian kira-kira 6.45 petang itu berlaku sebelum premis ditutup apabila 3 suspek memakai topi keledar dan penutup muka serta bersenjatakan pistol tiruan bertindak memegang tangan pengawal keselamatan sebelum merampas senapang patah.
“Suspek kemudiannya mengarahkan pekerja membuka peti besi serta mengambil wang di dalamnya. Semua lelaki itu kemudian melarikan diri bersama senapang patah itu dengan menaiki sebuah Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sum berkata, polis menjumpai 2 pistol tiruan yang digunakan suspek berhampiran kedai itu.
Pihak polis sedang menyiasat kes itu dan meneliti rakaman kamera litar tertutup untuk menjejaki 3 suspek itu.