SKMM belum terima laporan serangan WannaCry

SKMM belum terima laporan serangan WannaCry

Menteri Salleh Said Keruak berkata kerajaan berusaha meningkatkan keselamatan siber bagi mengelakkan serangan daripada 'ransomware' tersebut.

salleh-wannacry-attack2
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) belum terima sebarang laporan rasmi mengenai dakwaan serangan “ransomware” “WannaCry” di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini mengumumkan ia mengesan ancaman “malware” tersebut di Malaysia.

“SKMM setakat ini belum terima sebarang laporan rasmi mengenai ‘ransomware’ itu, walaupun saya terbaca laporan media mengatakan terdapat 10 serangan yang berlaku di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara di sebuah hotel di sini.

Tanpa mengulas mengenai dakwaan serangan yang berlaku itu, beliau menambah, “Sekiranya ada laporan rasmi, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.”

Beliau berkata kerajaan berusaha meningkatkan kemampuan pertahanan keselamatan siber bagi mengelakkan serangan tersebut.

“Serangan ‘ransomware’ berlaku di seluruh dunia dan kita mesti berwaspada dengan apa sahaja yang berlaku di ruang siber supaya kita tidak menjadi mangsa,” katanya.

Dilaporkan 2 syarikat tempatan diserang “WannaCry” 3 hari selepas ‘ransomware’ berniat jahat itu disebarkan ke seluruh dunia.

Star Online melaporkan syarikat perkhidmatan keselamatan IT, LGMS, sebagai berkata kes pertama di negara ini melibatkan seorang pengarah klien mereka, yang menemui “ransomware” itu dalam komputer riba miliknya pada pagi Sabtu lepas.

“WannaCry” akan mengunci fail dalam sesebuah komputer dan menjadikannya sulit untuk menghalang akses pemilik kepada fail itu.

Program kemudian akan menuntut bayaran melalui sistem bayaran digital Bitcoin untuk melepaskan fail itu.

Bagaimanapun, pakar keselamatan memberi amaran tiada jaminan akses akan diberikan selepas pembayaran dilakukan.

Sesetengah ransomware yang menyulitkan fail menaikkan jumlah bayaran lebih tinggi selepas beberapa hari sambil mengancam akan memadamkan semua fail.

Lebih 99 negara dilanda “WannaCry” pada Jumaat.

Pakar keselamatan tidak pasti berapa ramai mangsa yang membayar wang, atau akses dipulihkan selepas pembayaran dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.