
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua memberikan contoh 3 pemain industri tempatan yang berjaya dianugerahkan kontrak membina stesen janakuasa Battersea yang menjadi mercu tanda London.
“Ia kini projek dengan nilai pembangunan kasar melebihi 8 bilion pound dan kita juga memenangi anugerah ‘Developer of the Year’ pada 2015.
“Tahun lepas, projek itu juga memenangi anugerah ‘Deal of the Year’ selepas berjaya menarik masuk syarikat Apple untuk menyewa ruang pejabat seluas 5,000 kaki persegi,” katanya.
Pua berkata jawapan siapa mampu mengambil alih Bandar Malaysia terpampang di “depan mata kita”.
Beliau mengulas langkah Datuk Seri Najib Razak yang mengalu-alukan penyertaan Kumpulan Wanda dari China, bagi mengambil alih projek Bandar Malaysia.
Bandar Malaysia merupakan projek induk syarikat milik kerajaan 1MDB. Awal bulan ini, projek itu terganggu selepas perjanjian jualan saham syarikat dimiliki Kementerian Kewangan dengan sebuah konsortium usaha sama China-Johor diumumkan terbatal.
TRX City, pemaju induk Bandar Malaysia mendakwa Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) gagal menyelesaikan bayaran bagi pemilikan kepentingan dalam Bandar Malaysia seperti terkandung dalam perjanjian lewat 2015. Dakwaan itu ditolak konsortium itu yang menyatakan pembayaran sudah dilakukan.
Pada Sabtu, Najib yang menghadiri forum antarabangsa mengenai Satu Jalur Satu Laluan (Obor) di Beijing, bertemu pemilik Wanda, Wang Jianlin, dan berpuas hati dengan minat yang ditunjukkan untuk membangunkan Bandar Malaysia.
“Kami percaya Kumpulan Wanda berupaya untuk melaksanakan suatu yang luar biasa,” kata Najib.
‘Jurujual terdesak’
Pua bagaimanapun mempersoalkan kegagalan Najib untuk sekurang-kurangnya mendapatkan sebarang petanda Wanda berminat menceburi projek tersebut.
“Perdana menteri mungkin perlu diajar mengenai strategi pemasaran. Beliau jelas seperti seorang jurujual yang terdesak cuba menjual harta pusaka keluarganya, dan beliau tidak akan berjaya menutup perjanjian itu pada harga lebih tinggi.
“Pemaju China mungkin banyak tunai, tetapi mereka bukan bodoh,” kata Pua, yang mengingatkan IWH-CREC gagal melangsaikan kesemua RM7.41 bilion untuk memiliki 60% saham dalam Bandar Malaysia.
“Dan sekiranya Wanda sedia maklum mengenainya, mengapa mereka perlu menawarkan nilai lebih tinggi daripada nilai terbaik sebelum ini?” soal Pua.
Pua berkata satu-satunya sebab mengapa pemaju China berminat dalam Bandar Malaysia ialah mereka ditawarkan pelbagai insentif kewangan dan pelepasan cukai daripada kerajaan Malaysia.
“Ini menimbulkan persoalan – apa yang istimewa sangat mengenai pemaju China sehingga kita perlu tunduk memberikan mereka pelbagai insentif kewangan dan pelepasan cukai?”
Pua berkata, beliau faham sekiranya insentif tersebut adalah untuk syarikat teknologi seperti gergasi telefon bimbit Huawei, kerana Malaysia tidak mempunyai kepakaran dalam sektor tersebut.
“Sebaliknya, pengalaman kita dengan pemaju China sudah meninggalkan rasa pahit,” katanya, sambil menambah penglibatan syarikat China melumpuhkan industri hartanah di Johor disebabkan dasar membawa masuk semua bekalan dan sub-kontraktor dari China.
Beliau berkata sudah tiba masanya Kementerian Kewangan menilai semula pembangunan Bandar Malaysia.
Pua memberikan contoh pelbagai pemaju besar lain yang menempa nama di negara lain, seperti Sunway, IJM, YTL dan UEM-Sunrise.
“Mengapa pemaju tempatan tidak diberikan peluang?” katanya, yang mencadangkan pembangunan Bandar Malaysia boleh dibahagi-bahagikan kepada beberapa fasa.