
FAM dalam satu kenyataan hari ini berkata, Vingada yang akan tiba di Malaysia pada 25 Mei ini akan memulakan tugas pertamanya dengan membantu kempen Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2019.
Beliau akan membimbing skuad negara menentang Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun nanti dalam aksi pusingan akhir serta menerima kunjungan Lubnan di Larkin, Johor, pada 13 Jun ini.
Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu seorang jurulatih yang boleh menjadi guru kerana dalam skuad kebangsaan, ia tidak hanya mengenai kejurulatihan, tetapi juga mendidik pemain negara.
“Setelah melihat banyak jurulatih, tempatan dan juga luar melakukan kerja mereka, naluri saya menyatakan Vingada adalah individu tepat untuk tugas ini. Saya mungkin silap, tetapi hanya masa yang akan menentukan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan FAM itu.
Vingada, 64, yang digelar “The Professor” berkata, ia merupakan satu penghormatan untuk melatih skuad kebangsaan Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menghubungi saya dan kemudian bertemu dengan saya di Johor baru-baru ini.”
Sejurus disahkan sebagai presiden FAM pada 25 Mac lalu, Tunku Ismail mengumumkan bekas jurulatih kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez selaku jurulatih kebangsaan.
Namun, disebabkan Gomez meminta bayaran lebih tinggi daripada gaji diperolehinya ketika membimbing JDT dan FAM yang menghadapi kekurangan dana RM40 juta ketika itu, beliau memutuskan untuk mencari calon lain bagi memegang jawatan itu.
Vingada memulakan kerjaya kejurulatihan beliau sebagai pembantu Carlos Queiroz untuk pasukan Portugal Bawah 20. Mereka berdua berjaya membawa Portugal ke Piala Dunia Fifa Bawah 20 pada 1989 dan 1991.
Vingada secara konsisten membawa pasukan Bawah 20 Portugal ke separuh akhir acara utama, termasuk Piala Dunia Fifa Bawah 20 pada 1995 dan Sukan Olimpik pada 1996.
Kini, beliau mempunyai pengalaman lebih 35 tahun sebagai pengurus dan namanya tidak asing di rantau Asia kerana pernah membimbing pasukan senior Arab Saudi (1996-1997), pasukan Olimpik Mesir (2004-2005), skuad kebangsaan Jordan (2007-2009) dan skuad Olimpik Iran (2014).
Beliau juga pernah membimbing kelab Zamalek FC dari Mesir, Seoul FC dari Korea Selatan, pasukan gergasi Iran – Persepolis FC, kelab Liga Super China – Dalian Shide FC dan terakhir NorthEast United FC di India.