
Dalam respons susulan senarai Peringatan Pengguna Kewangan BNM yang dikeluarkan sebelum ini, MonSpace menerusi satu kenyataan diedarkan dalam 3 bahasa di laman Facebook berkata, syarikat mereka beroperasi mengikut peraturan-peraturan negara ini.
Syarikat multinasional itu berkata, pihaknya dengan rapi mematuhi peraturan dan undang-undang sejak penubuhan pada 2014.
“Sejak ditubuhkan, kami telah dan masih berpegang teguh kepada undang-undang negara.
“Kami sentiasa berwaspada untuk mengelak aktiviti yang boleh dipersoalkan, yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia,” kata kenyataan itu.
MonSpace mendakwa banyak pihak menyebarkan khabar angin dan memfitnah syarikat itu.
Malah, MonSpace juga menggesa orang ramai agar mengesahkan sebarang maklumat mengenai syarikat itu melalui saluran rasmi mereka.
Sebelum ini, Ahli Parlimen DAP mengeluarkan kenyataan berikutan pengumuman senarai BNM, termasuk MonSpace antara 291 syarikat.
Lim Lip Eng, wakil rakyat kawasan Segambut berkata, senarai dikeluarkan BNM itu mengukuhkan dakwaannya bahawa MonSpace satu lagi syarikat pelaburan yang meragukan.
Dalam pada itu, Adun Kg Tunku, Lau Weng San mendakwa skim pelaburan MonSpace adalah lebih buruk berbanding skim forex JJPTR yang menjadi perhatian beberapa minggu kebelakangan ini.
“MonSpace mula beroperasi 3 tahun lalu dan saya percaya skim pelaburan mereka telah berkembang lebih besar sejak itu,” kata Lau dalam satu sidang akhbar semalam.
Lau mendakwa syarikat multinasional mempunyai pengaruh yang lebih besar kerana turut membabitkan penglibatan beberapa tokoh utama.
Lim juga mendakwa, syarikat pelaburan kini dinamakan oleh BNM hanya kerana orang-orang tertentu telah berhenti dari melindungi mereka.
Tinjauan BNM mendedahkan yang MonSpace didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai Pemasaran Pelbagai Tingkat (MLM) dan perniagaan “E-dagang Dalam Kesihatan Yang Baik.”
Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak mempunyai rekod mengeluarkan sebarang lesen kepada syarikat tersebut.