Harga petrol turun pengusaha stesen keluh rugi, kata menteri

Harga petrol turun pengusaha stesen keluh rugi, kata menteri

Pendekatan bersemuka itu bagi membolehkan kementerian mendengar sendiri keluhan pengusaha terbabit yang mendakwa mengalami kerugian susulan penurunan harga bahan api itu sejak tiga minggu berturut-turut.

Datuk-Seri-Hamzah-Zainudin-minyak
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu mengadakan pertemuan dengan persatuan pengusaha stesen minyak minggu depan bagi mendengar permasalahan yang timbul susulan penurunan harga minyak dan diesel.

Beliau berkata, langkah tersebut bagi membolehkan kementerian mendengar sendiri keluhan pengusaha terbabit yang mendakwa mengalami kerugian susulan penurunan harga bahan api itu sejak tiga minggu berturut-turut.

“Bila kita (kerajaan) melakukan sesuatu perkara, kita tidak boleh mengambil kira hanya kepada mereka (pengusaha minyak) semata-mata.

“Kita sebaliknya hendak menentukan bahawa pengguna juga perlu menikmati apa yang kerajaan lakukan. Maka biar saya berbincang dengan mereka dahulu,” kata beliau dipetik Bernama hari ini.

Berkuat kuasa tengah Rabu lalu harga bahan api menurun buat minggu ketiga berturut-turut.

Harga runcit petrol RON95 dan RON 97 masing-masing turun sebanyak 10 sen kepada paras RM2.01 dan RM2.29 seliter manakala harga runcit diesel pula dijual pada paras RM1.95 seliter berikutan penurunan sebanyak 13 sen.

Harga bahan api kini ditentukan dengan menggunakan sistem harga siling mingguan yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Harga terkini bahan api tersebut kini berada pada tahap terendah sejak pengenalan sistem harga bahan api mingguan pada 30 Mac lalu.

Terdahulu beliau merasmikan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, penurunan harga minyak secara berturut-turut menyebabkan ramai pengusaha berdepan risiko gulung tikar.

Ia juga menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung perbezaan harga antara masa pembelian stok minyak dan penjualan kepada orang ramai.

Dua hari lalu, Hamzah berkata beliau ‘hairan’ dengan sikap pengkritik yang bising apabila harga minyak naik tetapi membisu pula apabila ia turun.

“Pasal petrol ini saya hairan sesetengah orang ini kan bila harga naik 3 sen, macam-macam dia cerita. Bila turun seminggu, 2 minggu, 3 minggu berturut-turut turun senyap sahaja,” kata beliau.

Menteri ‘hairan’ pengkritik membisu harga minyak turun

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.