
Ainnurul yang menyangkakan suaminya akan dibebaskan tidak lama lagi, juga bercadang memohon sekurang-kurangnya 1 lagi pertemuan dengan Ihsan semalam.
Hari ini, warganegara Malaysia itu yang ditemani peguamnya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin tidak dapat menahan air matanya ketika menceritakan situasi dihadapinya.
“Semalam dia (Ihsan) ingat akan dibebaskan tidak lama lagi. Kami malah merancang…saya tak jangka langsung,” katanya teresak-esak.
“Kemudian saya terima panggilan daripada bapa mertua berkata suami sudah di Ankara. Itu sahaja maklumat yang kami ada…Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya pada sidang media di pusat beli-belah Publika, petang tadi.
Wakil Ismet dan Turgay yang hadir selepas sidang media itu memaklumkan, ahli keluarga 2 lelaki Turki itu terlalu takut dan tidak mahu menemui media.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitter mengumumkan Ihsan, Turgay Karaman dan Ismet Ozcelik sudah dihantar pulang ke Ankara, semalam.
Svetlana berkata, ahli keluarga yang langsung tidak dimaklumkan mengenai pengusiran itu, hanya mengetahui perkara itu daripada wartawan.
“Kami tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Pegawai penyiasat dalam pertemuan semalam pun tiada maklumat itu,” katanya yang berharap semua pihak memberi ruang kepada keluarga itu menghadapi saat sukar kerana Ihsan merupakan pencari nafkah untuk Ainnurul dan 3 anaknya.
“Harap Ainnurul dan anak-anaknya diberi ruang dan sokongan apa yang boleh…Ini kesusahan emosi dan kewangan,” katanya yang menyatakan penghargaan kepada polis kerana memberi kerjasama baik, termasuk ketika mereka ke Bukit Aman petang tadi untuk mengambil barang Ihsan yang dirampas.
Ihsan, 39, Turgay, 43, dan Ismet, 58, ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). Pada Oktober lalu, 2 warga Turki sudah dihantar pulang ke Turki.
Laman Turkey Purge hari ini mendakwa ia sebahagian usaha pentadbiran Recep Tayyip Erdogan menahan individu disyaki menyokong Fethullah Gulen – ulama Turki yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.
Ainnurul sebelum ini menafikan suaminya adalah pengganas dan menggesa semua pihak tidak mengaitkannya dengan tahanan lain.
Ketika ditanya sama ada beliau akan terus menggesa pembebasan Ihsan, Ainnurul hanya berkata, beliau akan buat yang terbaik untuk suaminya.
“Setakat ini kami akan kekal di sini. Saya akan cuba yang terbaik. Saya sudah bercakap dengan keluarga suami, kami akan cuba yang terbaik,” kata Ainnurul.
Peguam minta henti kaitkan Ihsan dengan 2 tahanan Turki lain