Jemaah masjid bantu wanita Cina tolak kereta rosak

Jemaah masjid bantu wanita Cina tolak kereta rosak

Lebih 10 lelaki terdiri daripada jemaah sebuah masjid di George Town membantu menolak kereta wanita itu ke bahu jalan, bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

auny1
PETALING JAYA:
Sekumpulan jemaah berganding bahu membantu seorang pemandu wanita berbangsa Cina menolak keretanya yang rosak di tengah jalan raya sibuk di depan sebuah masjid di Pulau Pinang, tengah hari tadi.

Muhammad Bakhtiar yang memuat naik video selama 22 saat itu ke Facebooknya berkata, kejadian itu berlaku ketika khatib menyampaikan khutbah Jumaat.

Video itu menunjukkan lebih 10 lelaki yang terdiri daripada jemaah masjid membantu menolak kereta yang menyebabkan aliran trafik perlahan di Jalan Kelawai, George Town, ke bahu jalan.

Peguam yang juga Adun Seri Delima, RSN Rayer meninggalkan komen: “Love Penang. Di Pulau Pinang kita semua adik-beradik tak kira Melayu, Cina, India saling membantu di antara satu sama lain.”

Sikap toleransi dan saling membantu ini jelas bertentangan dengan insiden pergaduhan di sebuah surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru pada Jumaat lalu apabila sekumpulan individu memukul seorang pemandu yang membunyikan hon selepas mendapati kedua-dua jalan di luar surau itu dihalang kenderaan yang menyukarkan pergerakan keretanya.

Jurutera berusia 28 tahun itu kemudiannya meminta maaf kerana membunyikan hon berulang kali dan berkata, beliau tidak berniat menyinggung perasaan sesiapa pun dengan tindakan itu kerana sudah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sebelum itu dan bergegas menguruskan perkara penting.

Rakaman video insiden itu yang menjadi viral di laman sosial menunjukkan ada di antara individu itu menendang kereta berkenaan, manakala seorang lagi lelaki berjubah putih dilihat memukul pemandu terbabit berulang kali dengan kon trafik, walaupun orang di sekeliling menasihatkannya bertenang.

Polis kemudiannya menahan 4 lelaki berusia 21 hingga 55 tahun atas dakwaan merusuh, sebelum membebaskan mereka selepas keterangan direkodkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.