Zahid: Kerajaan tak bawa pulang jenazah pemimpin IS

Zahid: Kerajaan tak bawa pulang jenazah pemimpin IS

Timbalan perdana menteri berkata, kerajaan Malaysia sudah dimaklumkan pihak risikan antarabangsa berhubung kematian Wanndy dalam satu serangan dron pada 29 April lalu.

wandy-is-zahid
SYDNEY: Malaysia tidak berhasrat membawa pulang jenazah ketua militan IS Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang disahkan terbunuh di Syria, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata, keluarga Wanndy boleh berbuat demikian dengan berbincang dan berurusan dengan pihak berkuasa di Syria.

“Kerajaan Malaysia sudah dimaklumkan pihak risikan antarabangsa berhubung kematian Muhammad Wanndy dalam satu serangan dron.

“Kerajaan Malaysia tidak ada perancangan untuk membawa pulang jenazahnya. Pihak keluarga boleh berbincang dengan pihak berkuasa di sana (Syria) (untuk membawa pulang jenazah),” katanya.

Zahid yang juga menteri dalam negeri dan kini dalam rangka lawatan kerja 3 hari di Australia bermula Ahad lepas, berkata demikian kepada pemberita Malaysia hari ini ketika ditanya warganegara Malaysia itu yang dilaporkan terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu di laman rasmi Twitter semalam selepas membuat penelitian terhadap maklumat yang diperolehi.

Pada 29 April lepas, berita kematian Wanndy tular di laman sosial selepas isterinya, Nor Mahmudah Ahmad, 28, memuat naik status dalam Facebook memaklumkan suaminya meninggal dunia dalam satu serangan dron.

KPN sahkan kematian pemimpin IS Muhammad Wanndy

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.