Penduduk Jinjang buat laporan terhadap DBKL, pemaju

Penduduk Jinjang buat laporan terhadap DBKL, pemaju

Penduduk Jinjang Selatan Tambahan percaya pegawai DBKL yang mengeluarkan notis pengusiran berkomplot dengan pemaju yang diragui

jinjang
KUALA LUMPUR:
Penduduk Jinjang Selatan Tambahan hari ini menggesa polis menyiasat pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berkemungkinan mengamalkan rasuah.

Ia berikutan penahanan beberapa pegawai DBKL oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Penduduk percaya mereka adalah pegawai yang sama mengeluarkan notis pengusiran menyuruh penduduk berpindah dari tanah yang akan dilakukan projek di bawah pemaju swasta.

“Kami menggesa polis dan SPRM menyiasat sama ada mereka terlibat dengan pengusiran kami dan mengambil rasuah kerana notis itu datang dari parti yang sama,” kata Ameer Khan Bargathalli yang mewakili penduduk kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Ameer mendakwa pemaju swasta itu tidak mempunyai rekod yang baik dari segi kredibiliti kewangan berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan.

“Saya membuat carian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan hasil menunjukkan pemaju itu tidak pernah membuat apa-apa projek sebelum terlibat dengan projek penuh kontroversi sekarang ini.

“Mereka tidak mempunyai rekod membangunkan mana-mana rumah atau bangunan, walaupun sebuah reban ayam,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan kesahihan tawaran yang dibuat pemaju untuk membina rumah mampu milik untuk penduduk sebagai balasan.

“Bagaimana mereka boleh membina rumah mampu milik untuk kita sedangkan mereka tidak mempunyai rekod membina apa-apa pun?

“Kami bimbang kerana mereka pernah memberi jaminan dan kami bersetuju meninggalkan rumah kami,” kata Ameer.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan yang mewakili penduduk menggesa polis menyiasat pemaju serta persatuan penduduk yang mendakwa mewakili mereka.

“Kedua-dua persatuan itu ialah Persatuan Tambahan Pembangunan Sosial Jinjang Selatan dan Persatuan Penduduk Jinjang Selatan Tambahan,” kata Arutchelvan.

Pemimpin PSM itu berkata kedua-dua persatuan terbabit tidak pernah berunding dengan penduduk walaupun mendakwa mereka berbuat demikian.

Salah seorang penduduk, Aminah Ali mendakwa ini adalah kali ke-2 mereka diusir dan kini beliau bimbang tidak mempunyai tempat tinggal apabila mereka diusir kelak.

“Kami tinggal di sini selama 50 tahun. Ke mana kami mahu pergi jika mereka usir kami?” Katanya.

Indrani Sinniah, 58, berkata, mereka hanya diberikan notis sebulan untuk mengosongkan rumah.

“Mereka tidak memberi apa-apa dokumen atau perjanjian. Mereka tidak datang berjumpa kami untuk berbincang, sebaliknya menghantar peguam untuk membuat perjanjian,” kata Indrani.

Lebih 500 penduduk Jinjang Selatan Tambahan tinggal di 107 rumah yang terletak di tanah seluas 69 hektar tanah yang diwartakan untuk pembangunan semula oleh DBKL dan pemaju.

Menurut laporan The Star, DBKL dibayar RM111 juta untuk tanah itu pada 2013.

Pada 15 Mac, penduduk rumah di kawasan itu menerima notis pengusiran dari DBKL memberi amaran supaya mengosongkan premis pada 14 April atau menanggung risiko rumah mereka akan dirobohkan.

Menurut Arutchelvan, notis pengusiran itu dilanjutkan sebulan lagi sehingga 18 Mei ini.

Bulan lepas, kumpulan penduduk membuat rayuan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Yang di-Pertuan Agong atas notis pengusiran tersebut.

Mereka juga sudah membuat 320 laporan polis terhadap pemaju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.