
Hakim Rajiv Sahai Endlaw, selepas membuang satu saman fitnah, berkata beliau tidak faham bagaimana pentadbir kumpulan perlu bertanggungjawab ke atas kenyataan yang dibuat anggota kumpulan, lapor Business Insider baru-baru ini.
“Menjadikan pentadbir platform dalam talian bertanggungjawab terhadap fitnah sama seperti surat khabar bercetak dipertanggungjawabkan atas penyiaran berita berunsur fitnah.
“Apabila platform dalam talian diwujudkan, pentadbir tidak dapat menjangka anggotanya daripada membuat kenyataan fitnah,” memetik hakim Mahkamah Tinggi Delhi itu sebagai berkata.
Hakim juga berkata pentadbir kumpulan tidak perlu atau diberi kuasa untuk menapis semua mesej sebelum disiarkan.
“Bukanlah seperti tanpa kebenaran pentadbir, mana-mana anggota kumpulan tidak boleh siarkan kenyataan,” kata mahkamah.
Saman difailkan Ashish Bhalla terhadap pentadbir sebuah kumpulan “chat”, Vishal Dubey.
Kegelisahan dalam kalangan pembeli sebuah projek perumahan di daerah Gurgaon menyiarkan mesej dalam kumpulan itu, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan mendapatkan pemilikan pangsapuri.
Gurgaon, yang juga dikenali sebagai Gugugram, terletak di barat daya bandar New Delhi di utara India.
Sebahagian mesej ini menyasarkan Bhalla, yang sebelum ini dikaitkan dengan firma hartanah yang melancarkan projek itu.
Bhalla kemudian memfailkan saman fitnah, menuduh anggota kumpulan itu memfitnah beliau dan nama baiknya, sedangkan beliau tiada kaitan dengan projek perumahan itu lagi.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memuat naik senarai “apa yang boleh” dan “apa yang tidak boleh” dilakukan di laman Facebook rasminya kepada pentadbir rangkaian media sosial.
SKMM mengingatkan pentadbir kumpulan agar memaklumkan anggota mereka alasan penubuhan kumpulan dan menimbang peraturan asas.
Ia juga menasihati pentadbir supaya aktif dalam kumpulan mereka.
Mengulas lanjut mengenai “apa yang boleh”, SKMM mengingatkan pentadbir supaya mengambil berat dengan syarat penggunaan yang ditetapkan penyedia platform dan tidak melanggar piawaian komuniti yang ditetapkan.
Ia juga menasihatkan pentadbir supaya menggugurkan atau menyekat anggota kumpulan yang menyiarkan mesej yang tidak sesuai, termasuk mesej “mengenakan” pihak lain atau melanggar peraturan asas.