
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa berkata, tangkapan itu dibuat selepas gambar sekumpulan pelajar lelaki berpakaian sekolah, memotong kek sempena sambutan penubuhan Kumpulan Satu Hati atau turut dikenali sebagai Geng 35 tersebar di laman sosial.
“Ekoran tersebarnya gambar itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda mengambil tindakan menangkap 17 remaja lelaki berusia lingkungan 15 hingga 17 tahun bagi membantu siasatan.
“Semua 17 itu termasuk 14 pelajar sebuah sekolah menengah di Kuala Muda serta 3 bekas pelajar sekolah sama, masing-masing berusia lingkungan 19 hingga 20 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966 iaitu pertubuhan menggunakan upacara Triad yang disifatkan sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak lebih daripada 5 tahun atau didenda tidak melebihi RM15,000.
“Tiga suspek awal merupakan bekas pelajar sekolah menengah, akan direman selama 4 hari bermula hari ini sehingga 7 Mei, manakala 14 lagi adalah tangkapan terbaharu,” katanya.