Baju ‘menggoda’: Netizen desak pengarah kejohanan catur letak jawatan

Baju ‘menggoda’: Netizen desak pengarah kejohanan catur letak jawatan

Gambar yang dikatakan Sophian A Yusuf - penolong setiausaha Persekutuan Catur Malaysia, tersebar di media sosial bersama mesej berang yang mendesaknya meletak jawatan.

chess-tournament-skirt-pendek-12tahun-1
PETALING JAYA: Rakyat Malaysia menuntut peletakan jawatan seorang pengarah kejohanan catur selepas beliau didakwa menegur pakaian seorang peserta berusia 12 tahun “tidak sopan”.

The Star melaporkan gambar yang dikatakan Sophian A Yusuf tersebar di media sosial bersama mesej berang yang mendesaknya meletak jawatan.

Hasil pemeriksaan mendapati sekeping gambar yang didakwa ialah Sophian yang juga penolong setiausaha Persekutuan Catur Malaysia (MCF).

Keterangan gambar itu berbunyi: “Dia perlu dibuang daripada jawatannya sebagai penolong setiausaha Persekutuan Catur Malaysia. Dia memalukan negara.”

Gambar lain didakwa menunjukkan profil dan “cover picture” Facebook Sophian yang menurut The Star dibanjiri kritikan netizen.

Laporan itu juga memetik Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin sebagai berkata, pengarah kejohanan itu sepatutnya lebih “berperikemanusiaan dan diplomatik”.

“Saya amat gelisah dengan isu ini. Saya turut merasainya seolah-olah beliau ialah anak perempuan saya sendiri,” katanya.

Pada Kejohanan Catur Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung 14 hingga 16 April lalu, Sophian dilaporkan menganggap pakaian sehingga paras lutut gadis itu “menggoda” dan “satu godaan dari sudut tertentu yang amat jauh”.

Jurulatih gadis itu, Kaushal Khandhar berkata, ketua pengadil memaklumkan pakaian gadis itu tidak sopan dan melanggar kod berpakaian bagi kejohanan itu.

Kaushal berkata, kejadian itu menyebabkan anak didiknya “terganggu” dan “malu”, ketika ramai pengguna media sosial mengecam pegawai kejohanan dan menggesa tindakan diambil terhadap mereka dan pihak penganjur.

Gadis itu yang merupakan juara bagi daerah Kuala Lumpur, kemudiannya menarik diri daripada kejohanan itu kerana beliau tidak boleh mendapatkan pakaian “sesuai” untuk dipakai pada hari pertandingan berikutnya yang bermula jam 9 pagi.

Gadis itu dan ibunya dikatakan tinggal di sebuah hotel di Putrajaya sempena kejohanan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.