Sekolah tahfiz tidak abaikan pelajaran lain, kata persatuan

Sekolah tahfiz tidak abaikan pelajaran lain, kata persatuan

Bagi sekolah yang lebih terkehadapan, ada mata pelajaran sains, fizik, kimia dan matematik tambahan.

pitas-tahfiz
PORT DICKSON:
Walaupun memperuntukkan sebahagian besar masa untuk menghafal al-Quran, pelajar sekolah tahfiz tidak mengabaikan pembelajaran subjek lain.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor (Pitas) Muhamad Hafiz Muhammad Hanafi berkata, walaupun sukatan pelajaran setiap sekolah tahfiz berbeza, kebanyakannya turut memasukkan mata pelajaran asas seperti di sekolah biasa.

“Selain subjek agama seperti akidah dan fekah, kebanyakan sekolah tahfiz turut memasukkan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan matematik dalam pembelajaran.

“Bagi sekolah yang lebih terkehadapan, ada mata pelajaran sains, fizik, kimia dan matematik tambahan. Tetapi ia bergantung kepada kemampuan pelajar,” katanya dalam wawancara bersama FMT Jumaat lepas.

Walaupun sukatan pelajaran tidak seragam, katanya, setiap sekolah tahfiz memaklumkan perkara itu kepada majlis agama Islam negeri.

“Sukatan pelajaran ditapis majlis agama. Mereka tahu apa yang diajar,” katanya.

Sistem tahfiz menjadi perhatian apabila tragedi yang menimpa pelajar Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Johor, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11 tahun, mencetuskan kemarahan ramai yang mempersoalkan operasi mereka.

Mohamad Thaqif meninggal dunia 26 April lalu, selepas ditempatkan di Unit Dependensi Tinggi (HDU) Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, didakwa akibat dipukul wardennya.

Menurut laporan Malay Mail, sejumlah 670 daripada 1,200 sekolah tahfiz tidak berdaftar dengan majlis agama negeri.

Laporan itu juga memetik Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Zahid Mahmood sebagai berkata, selain tiada sukatan pelajaran seragam, sistem itu juga tiada garis panduan seragam berkenaan proses pengambilan guru dan kakitangan.

Hafazan masih keutamaan

Sesuai dengan namanya sebagai sekolah tahfiz, hafalan al-Quran masih menjadi keutamaan. Pelajar memperuntukkan kira-kira 8 jam sehari untuk itu.

“Biasanya hafazan dibuat selepas sembahyang subuh sehingga jam 10.00 pagi dan diteruskan dengan kelas lain. Kemudian disambung pada sebelah petang dan 1 kelas pada malam.”

Beliau menyifatkan sekolah tahfiz sebagai suatu keperluan, apatah lagi dengan kesibukan ibu bapa dan pengaruh luar seperti media sosial dan penggunaan “gajet”.

Barangkali atas sebab itu juga semakin banyak sekolah tahfiz dibuka sekarang, terutamanya di kawasan bandar dan untuk golongan berpendapatan sederhana.

“Ini kehendak ibu bapa. Dengan memasukkan anak ke sekolah tahfiz, ini dapat mendisiplinkan anak dan mendekatkan mereka dengan al-Quran.”

Isu utama masih berhubung tiadanya pemantauan yang menyeluruh. Namun susulan tragedi itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerajaan akan mewajibkan semua sekolah agama persendirian, termasuk tahfiz, untuk berdaftar dengan kementerian.

Kerajaan Johor juga mengumumkan akan mewujudkan Pelan tindakan Jaminan Kualiti Tahfiz Johor (JTQA) bagi memastikan sistem tahfiz lebih tersusun, antaranya dalam aspek peraturan, prosedur dan sukatan pelajaran.

Ke mana selepas tahfiz?

Dengan sukatan pelajaran yang tidak seragam dan sistem yang tidak berdaftar, bagaimanakan masa depan bekas pelajar selain daripada bidang keagamaan?

Muhamad Hafiz menjelaskan, sama seperti pelajar sekolah biasa, lepasan tahfiz bebas memilih jalan sendiri.

Katanya, kebanyakan pelajar tahfiz mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala bagi yang tidak, mereka boleh mengambil sijil kemahiran di bawah kementerian sumber manusia.

Beliau merujuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang turut menerima lepasan pelajar tahfiz, antaranya untuk bidang automotif dan sistem komputer.

“Ada juga sekolah tahfiz yang menjalinkan kerjasama dengan institusi seperti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel),” katanya.

Beliau juga memaklumkan Pitas mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat pembinaan komponen kapal terbang di Melaka bagi program pengambilan sebagai pekerja tanpa memerlukan sijil SPM, dan pada masa sama meneruskan hafazan mereka.

“Mereka dibayar gaji seperti pekerja lain, pada masa sama syarikat menyediakan guru dan kemudahan untuk mereka meneruskan hafazan. Ini untuk pelajar yang sudah melepasi usia 17 tahun tetapi masih gagal menjadi hufaz,” katanya.

Beliau berharap untuk mengadakan kerjasama dengan lebih banyak syarikat daripada pelbagai industri, kerana yakin lepasan tahfiz mampu menjadi pekerja yang baik seperti pelajar lain.

“Masuk ke tahfiz ini bukan tanpa matlamat. Sama ada mereka mengambil SPM atau tidak, pelajar dan ibubapa mereka pasti sudah mempunyai perancangan sendiri untuk masa hadapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.