Khalil Hadi: PRU-14 dijangka pertembungan untuk agama

Khalil Hadi: PRU-14 dijangka pertembungan untuk agama

PAS tingkatkan bahang PRU-14 menjadi pertembungan antara kelompok memartabatkan Islam dan kelompok yang tidak mahu Islam dimartabatkan.

hadi
ALOR SETAR:
Ucapan ketua pemuda PAS di hari terakhir muktamar membayangkan pertembungan antara Islam dan sekularisme menjadi naratif mereka sehingga pilihan raya umum ke-14.

Khalil Hadi membidas parti anti-Islam dan NGO yang meracuni pemikiran anak muda dengan idea liberalisme dan sekularisme, dan berkata PRU-14 dijangka menjadi medan pertembungan antara kelompok yang mahu memartabatkan Islam dan yang tidak mahu Islam dimartabatkan.

Khalil juga membayangkan pertembungan ini sebahagian daripada perlawanan yang lebih besar, menentang golongan yang mendapat biaya asing untuk menghancurkan usaha pendaulatan Islam, seperti yang berlaku dalam Arab Spring, cubaan rampasan kuasa di Turki dan cubaan mencabar politik Islam di Indonesia.

“Demi sesungguhnya, kita kini sedia menanti untuk memuktamadkan percaturan politik murahan mereka yang menentang Islam,” kata Khalil.

Khalil melihat PAS memainkan peranan sebagai benteng mempertahankan Islam, dan melaksanakan agenda memartabatkan Islam sebagai “Agama Negara” melalui demokrasi.

Beliau berkata PAS akan bergerak ke “medan tempur” bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai “blok politik ketiga”, berdepan blok pertama Umno dengan Barisan Nasional dan blok kedua DAP dengan Pakatan Harapan.

“Pemuda PAS mengambil ‘cue’ daripada barisan kepimpinan ulama untuk meniupkan semboyan ke medan tempur.”

Khalil menggambil tempat Nik Abduh, anak kepada bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam pemilihan muktamar tahun ini.

Muktamar tahun ini merupakan mesyuarat agung tahunan kedua sejak pemilihan 2015 yang menyaksikan beberapa pemimpin veteran tewas dalam merebut jawatan tertinggi.

Mereka kemudian menubuhkan Amanah, yang kini sebahagian daripada Pakatan Harapan bersama PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Khalil dalam ucapan penggulungan muktamar induk PAS ke-63 turut membidas mereka yang mengkritik PAS sebagai “Parti Pak Lebai”.

Tanpa menamakan sesiapa, Khalil berkata ada suara sinis yang meletakkan label itu pada PAS.

“Kita nak beritahu bahawa ‘Parti Pak Lebai’ inilah yang terbukti bersih daripada kekotoran politik sekular duniawi semata-mata. Sesungguhnya ‘Parti Pak Lebai’ inilah yang telah berjaya ‘melebaikan’ golongan profesional dan aktivis dan Parti Pak Lebai inilah yang akan menjadi benteng utama mempertahankan Islam,” kata Khalid.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menyindir PAS selepas ketua pemuda ketika itu, Nik Abduh, yang tewas dalam pemilihan kawasannya, mengesahkan PAS mahu menawan Selangor pada PRU-14.

“Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur,” kata Azmin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.