
Perkara ini didedahkan bekas “ejen” dalam sindiket itu yang dikatakan menjual MyKad palsu dan kerakyatan kepada warga asing dengan harga RM4,500 hingga RM10,000.
“Sistem pemalsuan ini berfungsi sama seperti MLM. Saya melantik 4 sub ejen atau ‘downliner’ dan saya boleh menikmati insentif tunai daripada kes yang dirujuk pasukan saya kepada ‘dalang’,” kata lelaki berusia 25 tahun dari Kulai, Johor yang dipetik laporan akhbar harian itu.
Identiti lelaki itu tidak didedahkan sebagai syarat temu bual. Beliau salah seorang ejen MyKad palsu dan penipuan kerakyatan Malaysia yang didakwa dikendalikan “dalang”, seorang lelaki yang didakwa bekerja dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selama 10 tahun.
Bekas ejen itu berkata, “dalang” itu mempunyai rangkaian ejen merangkumi semua negeri.
Jumaat lalu, media melaporkan “dalang” itu menawarkan MyKad kepada pendatang haram dan warga asing yang tinggal melebihi tempoh.
Penyiasatan dengan cara menyamar yang dijalankan The Star mendedahkan lelaki itu “membantu” ramai warga Indonesia dan Kemboja mendapatkan MyKad tulen serta dokumen kerakyatan semasa bekerja di JPN.
Dalam laporan hari ini, akhbar itu berkata, seorang lagi bekas “ejen” kepada “dalang” itu menamakan beberapa rakan “ejen” dalam satu laporan polis yang dibuat di Kulai, Johor, pada Jumaat, selepas akhbar itu mendedahkan operasi sindiket terbabit.
Ibrahim Hanafia, 70, memberitahu sebuah badan bukan kerajaan di mana beliau membantu The Star mendedahkan penipuan itu, beliau sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menumpaskan sindiket berkenaan.
Walaupun MyKad dikeluarkan JPN, permohonan kerakyatan memerlukan tapisan ketat oleh unit berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri di ibu pejabatnya di Putrajaya.