Memali bukti PAS tak takut lawan Umno, kata Pemuda

Memali bukti PAS tak takut lawan Umno, kata Pemuda

Adun Tepoh Hisyamudin Abdul Karim berkata partinya model integriti dalam kalangan pembangkang, berbanding DAP dan PKR yang terpalit skandal rasuah dan penyelewengan kuasa.

Hisyamudin-Abdul-Karim
ALOR SETAR:
Perwakilan Pemuda PAS hari ini menempelak Pakatan Harapan (PH) yang menuduh mereka tidak berusaha menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pembahas Hisyamudin Abdul Karim berkata peristiwa Memali 1985, yang menyaksikan pertembungan antara ahli PAS dan pihak berkuasa, membuktikan mereka bukan golongan penakut.

“Kami ingin beritahu lawan kami, dulunya kawan kami (PH), penakut ini dalam melawan kerajaan BN mencatatkan sejarah di bumi Memali…darah syuhadah mengalir kerana melawan Umno dan BN,” kata ahli PAS Terengganu itu, yang juga Adun Tepoh.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucaptama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Dalam kejadian di Kampung Memali, Kedah 19 November 1985, 14 orang terkorban mempertahankan Ibrahim Mahmud (Ibrahim Libya), dalam operasi untuk menangkap ahli PAS itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau dikehendaki selepas didakwa mewujudkan perpecahan masyarakat. Peristiwa ini juga dikatakan terkait dengan “Amanat Haji Hadi” 1981. Empat orang polis terbunuh dalam kejadian itu.

Sementara itu, Hisyamudin berkata partinya model integriti dalam kalangan pembangkang, berbanding DAP dan PKR yang terpalit skandal rasuah dan penyelewengan kuasa.

“Dalam keadaan pemimpin PAS dipalit menerima RM90 juta duit 1MDB tiba-tiba ketua Ketua AMK Ampang pula ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dalam keadaan PAS dituduh pemakan ‘dedak’, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terpalit pembelian (banglo) dengan harga murah.

“Tetapi pemimpin PAS yang memegang tanggungjawab memerintah negeri langsung tidak terlibat dengan sebarang skandal (atau) diheret SPRM,” katanya.

Sebelum ini Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa pernah menerima dana berkaitan 1MDB.

Dalam akuan bersumpah yang ditandatanganinya pada 13 April 2017 Rafizi berkata perkara itu diberitahu kepadanya oleh seorang bekas pegawai “kanan” SPRM yang terlibat dalam siasatan mengenai dakwaan salah guna dana 1MDB.

Rafizi turut mendakwa Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali pernah berjumpa bekas pegawai SPRM itu untuk mendapatkan kesahihan mengenai dakwaan itu.

Pemuda PAS akan ‘tendang’ pemimpin terima dana Umno

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.