
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, jumlah pengambilan pelajar juga ditingkatkan kepada 6,000 orang berbanding 3,400 orang pada program BI1M fasa pertama tahun lepas.
“Tahun lepas, program ini mendapat sambutan yang sangat baik. Justeru kita teruskan tahun ini dengan tambahan pengambilan pelajar kepada 6,000 orang.
“Ini adalah usaha kerajaan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan meningkatkan penguasaan perbualan dalam bahasa Inggeris memandangkan bahasa ini diguna secara global dalam dunia perniagaan selain keperluan profesional dalam pelbagai industri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Fasa Kedua Program BI1M 2017 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Bharu di sini, hari ini.
Katanya, untuk tahun ini, kementerian melantik 75 orang tenaga pengajar melalui sebuah organisasi kemanusiaan sebagai agensi pelaksanaan yang akan menjalankan program melalui metodologi, kurikulum dan sistem pembelajaran yang telah terbukti berkesan.
Mohd Irwan Serigar berkata, peluang mengikuti pembelajaran bahasa Inggeris itu dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang akan dilaksanakan Jun ini di 15 buah UTC dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara.
Beliau berkata, pelajar daripada program perintis tahun lepas berjaya menguasai bahasa Inggeris yang lebih baik sekali gus membantu melancarkan urusan harian masing-masing terutama dalam bidang perniagaan dan pemasaran.
“Kami amat gembira melihat warga Malaysia menggunakan peluang dan platform yang disediakan kerajaan ini bagi membina pembangunan manusia yang berkualiti sekali gus memastikan kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Program BI1M dilancarkan di bawah naungan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kementerian itu dengan matlamat membangunkan dan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang bersifat transformatif untuk negara.
Mereka yang berminat menyertai program BI1M boleh melawati laman sesawang www.BI1M.my untuk mendaftar dan laman rasmi www.facebook.com/BI1M untuk maklumat terkini.