‘PKR sudah sebati perjuangan PAS, harap tak putus hubungan’

‘PKR sudah sebati perjuangan PAS, harap tak putus hubungan’

Naib Presiden PKR itu berkata, Biro Politik parti itu tidak pernah meminta exco PAS meletak jawatan dalam kerajaan Selangor, sebaliknya ia pandangan peribadi setiausaha agungnya.

Syarhan-Humaizi_pkr_pas_600
ALOR SETAR:
PKR masih menaruh harapan PAS tidak akan menamatkan kerjasama selama 18 tahun dengan PKR, walaupun Dewan Ulama dan Pemudanya sudah meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dengan parti itu tanpa bahas.

Naib Presidennya, Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, PKR sudah sebati dengan perjuangan PAS yang menjalin kerjasama dengannya sejak 1999.

Bagaimanapun katanya, PKR akan menunggu keputusan akhir Majlis Syura Ulama PAS.

“Bagi kami, kita telah bersama PAS selama 18 tahun sejak 1999 lagi dan sejak itu kita masih kekal bertahaluf siyasi.

“Jadi, kami merasakan ianya wajar dikekalkan kerana ianya merupakan penghubung antara PKR dengan Pakatan Harapan,” katanya selepas menghadiri perasmian Muktamar PAS ke-63 di Kompleks PAS Kedah, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas usul memutuskan hubungan dengan PKR yang diluluskan secara berasingan oleh perwakilan di Muktamar Dewan Ulama PAS dan Dewan Pemuda PAS tanpa bahas, pada Khamis dan Jumaat lalu.

Usul ini akan diangkat ke Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menggesa exco PAS dalam kerajaan Selangor meletak jawatan sekiranya muktamar parti itu membuat keputusan menamatkan hubungan dengan PKR.

Saifuddin dilaporkan berkata, tidak masuk akal sekiranya PAS yang sudah memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah, masih mahu kekal dalam kerajaan Selangor setelah putus dengan PKR.

Ada 3 exco kerajaan Selangor daripada PAS iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad (perumahan, pengurusan bangunan dan kehidupan bandar); Zaidy Abdul Talib (infrastruktur dan kemudahan awam, pemodenan pertanian dan industri asas tani) serta Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (hal ehwal agama Islam, adat Melayu dan warisan, pembangunan desa dan kampung tradisi).

Mengulas desakan meletak jawatan itu, Shaharuddin berkata, kenyataan Saifuddin itu bukan pendirian PKR.

“Kita Biro Politik PKR tidak pernah buat keputusan itu (letak jawatan). Saifuddin minta PAS letak jawatan itu merupakan pandangan peribadi dan tidak diputuskan parti.”

Katanya, walaupun PAS bertekad memutuskan hubungan dengan PKR, kerjasama masih boleh dijalin melalui pelbagai cara.

“Dalam politik boleh berlaku pelbagai cara, kalau bukan dengan tahaluf, dia boleh berlaku dengan cara lain seperti persetujuan bersama dan sebagainya dan kita akan lihat perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

PKR tetap hadir Muktamar PAS, selepas usul putus hubungan

Pemuda PAS lulus usul ‘cerai talak 3’ dengan PKR

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.