Najib: Kod Tatalaku pastikan Laut China Selatan aman, stabil

Najib: Kod Tatalaku pastikan Laut China Selatan aman, stabil

Najib Razak berkata, Kod Tatalaku itu mengikat dari segi perundangan bagi semua pihak dalam memastikan keselamatan maritim di Laut China Selatan terus terpelihara.

najib_south-china-sea_600
MANILA:
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap kerangka bagi Kod Tatalaku (CoC) mengenai Laut China Selatan yang kini berada di peringkat pegawai kanan Asean, akan dimuktamadkan dan diterima pakai menjelang akhir tahun ini.

“CoC ini adalah mengikat dari segi perundangan bagi semua pihak dalam memastikan keamanan dan kestabilan berterusan di Laut China Selatan,” katanya selepas mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Vietnam, Nyugen Xuan Phuc, semalam.

Beliau berkata, Vietnam juga mempunyai pendirian sama yang kawasan Laut China Selatan perlu terus menjadi kawasan aman dan stabil.

“Soal pelayaran dengan aman dan juga kebebasan pelayaran serta penerbangan di atas Laut China Selatan, keselamatan maritim hendaklah terus diberi jaminan supaya tidak berlaku apa yang boleh menjejaskan perkara-perkara tersebut,” katanya.

Najib berkata, Malaysia dan Vietnam mempunyai pendirian sama kawasan itu tidak sepatutnya ada aktiviti ketenteraan dan kedua-dua negara tidak mahu ketegangan di kawasan Laut China Selatan berada di tahap lebih tinggi lagi daripada apa yang dilihat pada masa ini.

“Jadi, kita berharap semua pihak tidak melakukan apa-apa yang boleh meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan, dan pada masa sama kaedah penyelesaian melalui rundingan secara aman menjadi pilihan negara Asean dalam isu Laut China Selatan,” katanya.

Selain itu, Najib berkata, mereka juga berbincang soal pertahanan dan lanun di kawasan Laut China Selatan yang memerlukan kerjasama lebih erat antara Vietnam dan Malaysia.

Vietnam turut menyuarakan hasrat menghantar lebih ramai pekerjanya ke Malaysia dan meminta kuota pengambilan tenaga kerja dari negara itu dikaji semula dan ditambah.

Idea mengenai CoC tercetus berikutan pertindihan tuntutan ke atas kawasan tertentu di Laut China Selatan.

Najib dan Phuc berada di Manila untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-30.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.