
Ketua Pemuda Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata barisan kepimpinan kali ini gabungan golongan profesional, ahli agama dan aktivis.
Katanya lagi, tiga daripada exco Pemuda berasal dari Kelantan.
“Ia signal perwakilan supaya pemuda memberi tumpuan untuk pertahan PAS di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam sidang media selepas selesai mesyuarat agung tahunan Pemuda PAS di Kompleks PAS Kedah hari ini.
Khalil Hadi, anak sulung presiden PAS, menang tanpa bertanding bagi sesi 2017-2019. Pemilihan sayap pemuda menyaksikan semua jawatan tertinggi, termasuk timbalan ketua ketua pemuda dan naib ketua pemuda, dimenangi tanpa bertanding, selepas calon menarik diri daripada pencalonan.
Hanya 14 pertandingan dalam jawatan ahli jawatankuasa, menurut bekas ketua pemuda Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.
Khalil berkata gabungan dalam kepimpinan Pemuda PAS menepis dakwaan kononnya kumpulan profesional akan disingkirkan.
Pada pemilihan PAS 2015, kumpulan profesional yang tewas meninggalkan parti itu dan menubuhkan Amanah, yang kini menganggotai pakatan pembangkang.
Ditanya mengenai usul memutuskan kerjasama dengan PKR yang diluluskan mesyuarat Pemuda PAS hari ini, Khalil berkata ia merupakan signal kepada Majlis Syura Ulama mereka.
Beliau bagaimanapun berkata usul Pemuda itu tidak wajar ditafsirkan secara keterlaluan sehingga Majlis Syura Ulama memberikan keputusan muktamad.
Usul Pemuda PAS itu menyusuli usul sama daripada Ulama PAS semalam.
“Saya kira ia akan dibentang dan dibahas pada Ahad,” kata Khalil, dan menambah sebarang keputusan putus hubungan bukan pendirian statik, tetapi fleksibel mengikut keperluan semasa.
Berikut senarai penuh Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat bagi 2017-2019
Pengerusi tetap: Kamal Ashaari
Timbalan pengerusi tetap: Dr Riduan Mohd Nor
Ketua pemuda: Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan ketua: Khairil Nizam Khiruddin
Naib pemuda:Ahmad Fadhli Shaari
Pemeriksa kira-kira:
1) Mohd Shahir Abu Hassan
2) Muhammad Ali Rajaie Jamaludin
Ahli Jawatankuasa kerja:
1) Hishamuddin Abdul Karim
2) Afnan Hamimi Taib Azamudden
3) Muhtar Suhaili As-Sarawaki
4) Mohd Hafez Sabri
5) Nor Azariza Mohd Alawi
6) Syahir Sulaiman
7) Hazmi Dibok
8) Mohd Akmal Kamaruddin
9) Izwan Abdul Halim
10) Mohammad Arifiriazul Paijo
11) Nurul Islam Mohamed Yusof
12) Nazman Che Ibrahim