KPDNKK akan kuat kuasa harga barang kawalan sebelum Ramadan

KPDNKK akan kuat kuasa harga barang kawalan sebelum Ramadan

Sebelum ini penguatkuasaan harga barang kawalan dibuat sebelum dan selepas hari raya

hamzah-3
KOTA KINABALU:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mungkin menguatkuasakan peraturan harga barangan kawalan sebelum Ramadan tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliu berkata langkah itu berlainan daripada amalan sebelum ini di mana penguatkuasaan harga barangan kawalan biasanya dibuat sebelum hari raya dan selepas hari raya.

“Saya mempunyai strategi baru tahun ini, selalunya kita buat pada musim perayaan apabila hampir hari raya, oleh kerana bulan puasa juga bulan yang memerlukan barangan kawalan, maka saya akan membincangkan perkara ini.

“Saya akan umumkan strategi ini sebelum puasa,” katanya kepada pemberita selepas menutup program Taklimat Isu-Isu Kepenggunaan Semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Program itu dihadiri anggota DUN dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Mengenai program taklimat hari ini, Hamzah berkata ia bertujuan menjelaskan pelbagai dasar dilaksanakan kementeriannya kepada semua pihak termasuk wakil rakyat bagi memastikan dasar itu difahami sebaik-baiknya.

Beliau berkata semua dasar diperkenalkan kerajaan termasuk kementeriannya demi kepentingan negara dan untuk membantu, memberi keselesaan serta kemudahan kepada rakyat.

“Sebagai contoh, bila kita rasionalisasikan subsidi, bukan bermakna kita nak ambil (subsidi) sebab tak cukup wang tapi untuk memastikan tidak ada pembaziran dan membolehkan kita membangunkan infrastruktur untuk rakyat dan membantu rakyat,” katanya.

Hamzah juga menjelaskan kerajaan mempunyai formula tertentu untuk dilaksanakan apabila harga minyak di pasaran antarabangsa meningkat untuk memberi keselesaan kepada rakyat kesan kenaikan harga minyak berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.