
Beliau berkata, ini berikutan pihak hospital perlu meneliti terlebih dahulu bentuk masalah dan kesan fizikal yang ada pada tubuh Thaqif.
“Akan ambil masa sikit, mungkin dalam masa 2 minggu. Itupun bergantung kepada kesediaan pihak hospital, polis dan sebagainya untuk mempercepatkan proses.
“Seperti yang disebut semalam, sebelum proses bedah siasat dilakukan, pihak doktor telahpun menemuramah ibu bapanya, menanya apakah siasatan polis dan merujuk kepada doktor yang menjaganya tentang apakah rekod-rekod kesihatan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Promosi Kesihatan Pergigian dan Pelancaran Carta Flip Bahasa Isyarat Kesihatan Pergigian bagi golongan berkeperluan khas (pendengaran) peringkat negeri di sini, hari ini.
Ayub berkata, bedah siasat itu turut mengambil kira pandangan ibu bapa serta keadaan jenazah pelajar tahfiz berusia 11 tahun itu.
“Apabila sudah dibuat pengiraan, barulah tindakan diambil bagi mencari kebenaran apakah sebab munasabah di sebalik perkara ini,” katanya.
Thaqif yang dipotong 2 kaki hingga paras paha akibat dijangkiti kuman, meninggal dunia petang semalam di Hospital Sultan Ismail di sini.
Dia dilaporkan mengalami masalah kesihatan, susulan dipukul pembantu warden asrama sekolah tahfiz swastanya.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, tengah malam tadi.
Ayub berkata, masyarakat tidak perlu cepat membuat keputusan awal dan menghukum sebelah pihak sahaja berhubung kejadian terbabit.
Katanya, selagi keputusan bedah siasat belum dimuktamadkan, kes haruslah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk ditentukan.
Beliau juga berkata, setakat ini, tiada pelajar lain dari madrasah sama dikesan mengalami simpstom seperti Thaqif.
Mengenai program pergigian itu, beliau yakin carta flip yang dilancarkan boleh diperluaskan ke semua sekolah berkeperluan khas di Malaysia.
Katanya, ia akan memudahkan pelajar memahami setiap tindakan yang perlu dilakukan demi menjaga gigi mereka.
“Cara ini adalah yang pertama di Johor dan saya yakin di Malaysia juga. Ia merupakan usaha antara Jabatan Kesihatan Negeri dan pihak sekolah dan disiapkan dalam masa 6 bulan,” katanya.