
“Secara prinsipnya, kamu boleh guna apa sahaja buku, termasuk yang terlarang dengan izin untuk kegunaan penyeldikan akademik,” kata Ahmad el-Muhammady, pensyarah Sains Politik dan Pengajian Islam di Universiti Islam Antarabangsa, yang kerap menasihati polis mengenai IS dan kumpulan militan lain.
Bagaimanapun, Ahmad berkata tujuan penyelidikan haruslah mengenai mencari kebenaran dan mendidik masyarakat.
Menurutnya, bahan bacaan dianggap ancaman apabila penyelidik menggunakannya untuk mempengaruhi orang lain ke arah keganasan atau sikap militan.
“Ia menjadi ancaman keselamatan negara apabila penyelidik menggunakan buku itu untuk mempengaruhi atau cuba menterjemahkan idea yang terkandung dalam buku itu kepada tindakan,” tambah Ahmad.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara ke atas bekas pelajar ijazah sarjana Universiti Malaya, Siti Noor Aishah Atam, kerana memiliki 12 buku yang dikarang pemimpin kumpulan militan serta mengandungi unsur mempromosikan falsafah mereka.
Haki menolak hujah Aishah yang buku berkenaan untuk penyelidikan.
Dua belas buku yang didakwa dimilikinya ditulis pengikut al-Qaeda, malah salah satu ditulis Osama bin Laden, ketua militan yang dikatakan mendalangi serangan 11 September 2001.
Antara bertajuk “Visi Politik Gerakan Jihad”, “Al-Zarqawi – Generasi Kedua al-Qaida”, “Dari Usama Kepada Para Aktivis”, “Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda” dan “Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru”.
Ahmad berkata, pembelaaan Aishah tidak diterima mahkamah kerana dibuktikan dia tidak menggunakan buku terlarang untuk tujuan penyelidikan.
“Alibinya ditolak kerana dibuktikan dia memiliki buku itu bukan sahaja untuk tujuan penyelidikan tetapi juga beliau mengikutinya,” tambah beliau.
Pendakwaraya ketika perbicaraan membangkitkan tulisan tangan Aishah dalam salah satu buku itu: “Ketahuilah, aku amat rindu dengan tanah Syam yang engkau berkati kerana di situlah syiar akan tertegak.”
Dalam pembelaannya, peguam Aishah berkata mahkamah perlu memanggil pakar untuk menentukan buku dimiliki Aishah mempunyai kaitan dengan pengganas.
“Bayangkan orang awam di luar sana, macam mana dia hendak tahu buku ini pengganas atau tidak. Ia seolah-olah kena perkenalkan undang-undang kalau hendak beli buku yang tidak ketahui kandungannya kena tanya pakar.
“Dia (Aishah) mesti tahu bahawa memiliki buku itu suatu kesalahan, tetapi dalam kes ini jelas Aishah tidak tahu,” kata peguam Mohd Kamaruzaman Abd Wahab.