
Amran Saari, 50, berkata sebarang kegiatan dan masalah yang dihadapi sekolah itu akan diketahui penduduk setempat, jika ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dilantik sebagai ahli jawatankuasa (AJK) sekolah berkenaan.
“Sepatutnya dalam kalangan AJK kampung berada dalam kelompok jawatankuasa itu. Jadi, kita tahu apa-apa pergerakan, aktiviti dan masalah.
“Undang-undang sedia ada di madrasah berkenaan pun kita tak pasti,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian susulan kes Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, minggu lalu, menjadi tular di media sosial.
Thaqif yang didaftar masuk ke sekolah tahfiz itu pada 27 Januari lalu, dilaporkan mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak 2 minggu lepas, dipercayai akibat dipukul pembantu warden asrama.
Kedua-dua kakinya yang dijangkiti kuman serta darah beku kemudiannya terpaksa dipotong dan keadaan Thaqif semakin membimbangkan selepas ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad mengesahkan pembedahan untuk memotong tangan kanan yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan kerana jantungnya tidak stabil.
Mengulas lanjut, Amran bagaimanapun tidak mahu menyalahkan pusat tahfiz itu sepenuhnya dalam kes Thaqif yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Sebab ini masih dalam siasatan polis, jadi sekarang ini bagi saya benda ini biar telus, semua pihak biar telus.”
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Lukut, Mohd Azman Husin, 39, yang terkejut dengan dakwaan pusat tahfiz di kampungnya terbabit dalam kes penderaan itu turut bersetuju dengan cadangan Amran.
“Jadi, apa-apa maklumat dalam tahfiz itu, orang kampung tahu. Ada wakil orang kampung kita tahu maklumat dari semasa ke semasa.”
Katanya, beliau hanya mengetahui kejadian itu melalui media sosial dan ia adalah kes pertama sejak pusat tahfiz berkenaan ditubuhkan di kampungnya.
“Masalahnya juga berada di kampung saya kan? Tak nak lah orang anggap Kampung Lukut ini teruk sebab itu sekolah tahfiz.
“Nanti bila masyarakat burukkan tahfiz, yang jatuh imej Islam juga. Nanti mak bapa nak hantar pun takut. Disababkan nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya.
Semalam, Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ), Mohammad Afdhaluddin Ismail dilaporkan berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum ini sebagai menghormati keluarga pelajar itu dan keutamaan kini diberi kepada Thaqif dan keluarga, terutama ibu bapanya.
Pengetua tahfiz: Tak jawab dakwaan demi hormat keluarga Thaqif