Hakim nasihat Siti Aishah bertaubat, cuci ‘hati kotor’

Hakim nasihat Siti Aishah bertaubat, cuci ‘hati kotor’

Mohamad Shariff Abu Samah berkata, tiada gunanya mempunyai ilmu tinggi dalam Islam, tetapi menyalahgunakannya untuk berjihad 'palsu'.

siti-aishah
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menasihatkan Siti Noor Aishah Atam bertaubat dan membersihkan hatinya yang “kotor” ketika menjalani hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan memiliki 12 buku mempromosi fahaman militan seperti IS.

Datuk Mohamad Shariff Abu Samah berkata, jika Siti Aishah tidak bertaubat, dia akan mendatangkan bahaya kepada masyarakat serta negara selepas keluar dari penjara.

“Tidak ada faedah dan apa ertinya ada bidang tinggi dalam agama dan sangat merugikan.

“Kena penjara 5 tahun ini, awak (Siti Aishah) makan, solat dan mandi awak boleh buat. Tetapi kalau tak cuci hati, sayang.

“Kita harap awak taubat dan kalau awak boleh, akan jadi orang baik. Lihat ibu bapa awak dekat belakang. Kita harap hukuman awak ini jadi iktibar kepada semua,” katanya ketika menjatuhkan hukuman itu kepada Siti Aishah hari ini.

Terdahulu, Siti Aishah dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Sehubungan itu, Shariff memerintahkan Siti Aishah menjalani hukuman tersebut bermula hari dia ditahan dan mengarahkan kerajaan melupuskan serta mengharamkan 12 buku terbabit.

Niat sambung belajar Siti Aishah sekadar “cerita mimpi”

Shariff berkata, jawapan Siti Aishah dalam sesi pembelaannya menunjukkan niatnya menyambung pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Akidah dan Pemikiran Islam) di Universiti Malaya (UM) pada 2012 hingga 2013 hanya “cerita mimpi”.

Ini kerana, katanya, Siti Aishah didapati tidak mendaftarkan tajuk tesis dengan UM sebelum dia ditahan polis.

“Dalam tempoh 2 tahun, dia tidak pun kemukakan tajuk tesisnya kepada UM. Setidak-tidaknya semak dengan kawannya sama ada sudah membuat bayaran kepada UM atau tidak. Sememangnya dia tidak ada hasrat sambung belajar seperti yang dilaungkan dan ia hanya ‘cerita mimpi’.

“Syarat untuk membuat tesis perlu mendaftar tajuk tesis. Tidak ada duit, tidak apa, tetapi daftar tajuk tesis dulu. Tetapi, saya tidak dengar sebarang jawapan daripada Siti Aishah,” katanya.

Jihad Siti Aishah buang masa

Shariff berkata, niat Siti Aishah untuk berjihad ke Syria juga satu perjuangan palsu dan membazir masa.

“Dalam buku berjudul ‘Merentas Jalan Jihad Fisabilillah’ juga terdapat tulisan tangan Siti Aishah menyatakan keinginan berjihad ke Syam, tetapi jika tidak dapat, perlu ambil nyawanya.

“Kalau tidak dapat pergi, itu biasanya tidak dapat pahala. Ini tidak, nak bunuh diri pula. Dalam buku ini jelas dia tulis ‘Ya Allah, ambillah nyawa aku kalau tak dapat pergi sana (Syria). Perjuangan apa itu?” soalnya.

Shariff turut mempersoalkan tindakan Siti Aishah masih menemui pensyarahnya, Dr Mahmud Ahmad dan Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi yang ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan militan IS.

“Pada hormat saya sangat konsisten. Awak sudah tahu dia terlibat dengan keganasan, tetapi apa tujuan awak pergi jumpa Dr Mahmud sebelum kena tangkap. Awak tetap berkawan dengan dia. Sama juga dengan Gadaffi,” katanya.

Beliau juga mendapati Siti Aishah menyedari buku yang dibelinya itu terkandung ideologi gerakan militan seperti Al-Qaeda.

“Masa dia beli, dia tahu status buku itu ada pergerakan dengan Al-Qaeda dan dia mengaku beli buku itu untuk tesis dia. Soal baca ke tidak, bukan isu dia. Tetapi, dia tahu tentang buku itu,” katanya.

Siti Aishah pertama kali ditahan pada Mac 2016, di bawah Sosma kerana memiliki 12 buku yang didakwa berkaitan kumpulan militan.

Antara judul buku itu adalah “Visi Politik Gerakan Jihad”, “Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi Apa Rencana Mereka Ke Depan”, “Dari Usama Kepada Para Aktivis”, “Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda” dan “Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru”.

Siti Aishah mengaku tidak bersalah memiliki buku berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada April 2016 dan mendakwa buku itu adalah untuk kajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Akidah dan Pemikiran Islam di Universiti Malaya (UM) pada 2012 hingga 2013.

Selepas ditahan pada Mac 2016, Siti Aishah dibuang UM kerana gagal hadir ke kelas. Ketika itu, dia mengambil jurusan dalam bidang Usuluddin.

Pada September lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Siti Aishah daripada semua pertuduhan atas alasan tiada kes prima facie dibuktikan terhadapnya.

Bagaimanapun, dia ditahan semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 atau Poca selama 60 hari, pada hari sama dia dibebaskan.

Sebaik dibebaskan, dia diletakkan di bawah tahanan rumah dengan dipasang peranti pengawasan elektronik bagi memastikan dia tidak meninggalkan daerah Surah di Dungun, Terengganu, tanpa kelulusan polis.

Siti Aishah kemudiannya ditahan semula di bawah Sosma dan dimasukkan ke Penjara Kajang sejak 29 Mac lalu.

Siti Aishah dipenjara 5 tahun miliki 12 buku militan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.