Asri tak setuju cara Zakir Naik umum masuk Islam di khalayak ramai

Asri tak setuju cara Zakir Naik umum masuk Islam di khalayak ramai

Mufti Perlis itu bagaimanapun mengulangi serangannya ke atas Hindraf kerana membantah kehadiran pendakwah itu.

asri-zakirnaik
PETALING JAYA: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin semalam berkata walaupun beliau mempertahankan Dr Zakir Naik di sebalik gesaan menghantarnya pulang ke India, beliau tidak setuju dengan pendekatan pendakwah itu yang menampilkan hadirin secara terbuka memeluk agama Islam di akhir program ceramah.

“Saya tidak setuju dengan pendekatannya,” kata Asri dalam kuliah mingguannya di Masjid Alwi, Perlis semalam.

Ceramah Zakir, yang kini dikehendaki pihak berkuasa India atas tuduhan pengubahan wang, kerap menyentuh perbandingan agama khususnya Hindu dan Kristian, dan selalunya memuatkan hadirin yang bukan beragama Islam mengucapkan syahadah di hadapan orang ramai.

Februari lalu, pelajar Hindu peringkat doktor falsafah (PhD), R.A. Shivaleela melafazkan syahadah di hadapan kira-kira 1,000 orang yang hadir mendengar ceramah Zakir di Arau, Perlis, yang turut dihadiri Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Asri.

Tahun lalu, seorang remaja Filipina, Nina Grace mengumumkan meninggalkan agama Kristian, manakala warga India, Hurender Bal Singh mengisytiharkan dirinya masuk Islam di khalayak ramai, di akhir ceramah Zakir di Terengganu.

Menurut Asri, penampilan begitu tidak perlu.

“Pada saya, tidak perlu ada (segmen) memeluk Islam di tempat awam bagi menjaga sentimen dan keluarga (individu yang memeluk Islam),” kata Asri, selang 2 hari selepas meminta maaf kepada penganut Hindu kerana puisi Jumaat yang dilihat menghina kepercayaan mereka.

‘Hindraf jurucakap Modi’

Dalam kuliahnya semalam, Asri bagaimanapun terus mempertahankan Zakir sambil menyasarkan serangannya ke atas Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), selang 2 hari selepas memohon maaf kerana memuat naik puisi yang dilihat menghina kepercayaan Hindu.

Asri sekali lagi berkata puisinya adalah mengenai kerajaan India, sambil berkata bantahan Hindraf terhadap Zakir menunjukkan NGO itu berlagak seperti “wakil” pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

“Puak ini kata, Zakir menyanggahi kerajaan India, seolah-olah mereka wakil kerajaan negara itu. Mereka berhujah macam wakil (kerajaan India),” kata Asri.

“Sasaran saya adalah Modi di India… Hindraf ingin menjadi wakil Modi menghantar Zakir balik ke India.”

Asri berkata berbeza dengan umat Islam yang mengutuk keganasan IS atas nama Islam, suara bantahan tidak kedengaran di kalangan kumpulan yang anti Zakir dalam membantah dasar pelampau Modi atas nama Hindu.

“Beliau pula adalah seorang fanatik yang dahulunya disenaraikan sebagai pelampau Hindu. Tetapi tiada sesiapa pun yang berkata beliau menyeleweng (daripada ajaran agama). Dan tidak boleh mengkritiknya,” katanya.

Puisi Asri yang dinamakannya “puisi pagi Jumaat” dimuat naik minggu lalu, dan antara lain menyelar golongan “mempertuhankan lembu” yang mahu menyerahkan “pendakwah kita” kepada sebuah kerajaan zalim yang mengamalkan sistem kasta dan sati, amalan kuno membakar balu yang diharamkan di India.

Asri semalam berkata istilah “mempertuhankan” itu bermaksud mengagung-agungkan.

“Dalam Quran ada menyentuh soal mempertuhankan nafsu.

“Memanglah Modi tidak menyembah lembu, tetapi sanggup (membiarkan) pembunuhan kerana lembu… Itulah realiti yang berlaku di India,” katanya.

Hindraf merupakan antara suara lantang membantah kehadiran Zakir, yang dikehendaki Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) atas dakwaan pengubahan wang dan mempromosikan propaganda pengganas, tuduhan yang dinafikan Zakir.

Asri pula merupakan antara agamawan yang lantang mempertahankan Zakir, malah menjemputnya menyampaikan khutbah Jumaat di Perlis awal tahun ini.

Zakir diberikan taraf penduduk tetap (PR) Malaysia sejak 5 tahun lalu.

Asri mohon maaf kepada orang Hindu yang ‘tersalah faham’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.