Sanjeevan: Ambil tindakan terhadap pelaku, bukan pemberi maklumat

Sanjeevan: Ambil tindakan terhadap pelaku, bukan pemberi maklumat

Selepas dibebaskan daripada tuduhan peras ugut, Sanjeevan berikrar akan terus mendedahkan kegiatan membabitkan perjudian dan sarang pelacuran bagi membendung masalah sosial.

sanjeevan
PETALING JAYA:
Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan menggesa polis berhenti mengambil tindakan terhadap pemberi maklumat yang membuat laporan terhadap pihak terlibat dalam kegiatan haram.

Bercakap selepas dibebaskan daripada tuduhan peras ugut di Mahkamah Majistret Kajang hari ini, Sanjeevan berkata, beliau membuat aduan berhubung sebuah spa yang terletak hanya 300m dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada 2014.

“Pengendali spa itu membuat 1 aduan terhadap saya dan saya didakwa di mahkamah. Tetapi, premis itu masih beroperasi.

“Saya berharap tindakan turut diambil terhadap mereka yang terbabit dalam kegiatan haram,” katanya kepada FMT.

Sanjeevan didakwa dengan niat melakukan pemerasan yang menimbulkan ketakutan kepada ahli perniagaan, Ong Lam Chin untuk menyerahkan RM20,000 kepadanya sebagai wang perlindungan.

Ong ialah pemilik spa terbabit.

Sanjeevan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Taman TTDI Grove, Kajang, kira-kira 8 malam pada 23 Mei 2016.

Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Afendi memohon mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Sanjeevan daripada pertuduhan itu, atas alasan pengadu sudah menarik balik aduan terhadapnya.

Bagaimanapun, peguamnya membantah permohonan itu dengan menyatakan anak guamnya patut dilepaskan dan mahkamah bersetuju dengan bantahan berkenaan.

Sanjeevan berikrar akan terus mendedahkan kegiatan membabitkan perjudian dan sarang pelacuran bagi membendung masalah sosial.

“Apabila mereka yang menjalankan kegiatan haram tidak takut, kenapa pemberi maklumat seperti saya perlu takut?”

Polis mendakwa MyWatch bukan pertubuhan berdaftar, Sanjeevan bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Pada 23 Januari lalu, Sanjeevan dilapor memaklumkan Jabatan Pendaftaran (RoS) sudah membatalkan pendaftaran MyWatch.

Katanya, beliau hanya mendapat tahu RoS membatalkan pendaftaran badan pemantau jenayah itu pada September 2016 melalui Twitter, tetapi mempersoalkan kegagalan RoS menghantar notis rasmi kepadanya.

RoS batal pendaftaran MyWatch

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.