Permaisuri Johor lawat pelajar tahfiz dipotong kaki

Permaisuri Johor lawat pelajar tahfiz dipotong kaki

Raja Zarith menziarahi Mohamad Thaqif Amin yang kini di hospital selepas kedua belah kakinya dipotong.

Raja-Zarith_1
JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor hari ini menziarahi pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang dipotong kedua belah kakinya, selepas mengalami pembekuan darah yang dikaitkan dengan hukuman rotan di sebuah sekolah tahfiz baru-baru ini.

Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah tiba di Hospital Sultan Ismail (HSI) tengah hari tadi, meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat Thaqif, dan ditemani Exco Johor, Datuk Ayub Rahmat, yang mengetuai Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar.

Thaqif, 11, merupakan pelajar sebuah pusat tahfiz swasta di Kota Tinggi.

Dia dilaporkan mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak 2 minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden.

Kedua-dua kakinya itu kemudian terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman merebak.

Seorang pembantu warden direman 4 hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Semalam, dilaporkan keadaan Thaqif semakin membimbangkan selepas doktor mengesan darah beku di lengan kirinya.

Thaqif, didaftar masuk ke pusat tahfiz itu pada 27 Januari lalu.

Ibunya, Felda Wani Ahmad berkata, Thaqif pada awalnya sangat gembira kerana dapat belajar di pusat tahfiz berkenaan.

“Namun sejak akhir-akhir ini dia berubah dan meminta saya mengeluarkannya dari situ setelah dia dan rakannya sering dipukul oleh seorang pembantu warden di tapak kaki dan betis dalam keadaan sujud,” katanya.

Felda Wani berkata, dia membuat keputusan mengeluarkan anaknya dari tahfiz tersebut pada 31 Mac lalu setelah mendapati keadaan anaknya tidak lagi seperti dulu dan seolah-olah ketakutan untuk kembali ke sana.

Dalam pada itu, Ayub berkata, Raja Zarith menitahkan pelajar yang pernah menjalani hukuman sama seperti Thaqif di pusat berkenaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Sebab kita kena bertindak awal berkaitan ini dan kita tak nak ada kes-kes lain barulah kita ambil tindakan.”

Ayub berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Jabatan Kesihatan negeri bagi memantau keadaan pusat tahfiz berkenaan dari pelbagai aspek, termasuk kebersihan.

Katanya, laporan darah Thaqif mungkin diperolehi dalam tempoh 1 hingga 2 minggu ini dan mereka sedang melihat potensi masa depan pelajar terbabit dari aspek fizikalnya.

Dalam pada itu, Ayub berkata, Raja Zarith menitahkan semua masjid dan surau di Johor mengadakan solat hajat pada Jumaat ini bagi mendoakan kesejahteraan Thaqif dan sebagai tanda sokongan moral kepada pelajar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.