Pelajar tahun 6 cedera terkena 13 peluru penabur jiran

Pelajar tahun 6 cedera terkena 13 peluru penabur jiran

Dua lelaki yang tinggal berhampiran rumah mangsa datang bersama sepucuk senapang memohon maaf kerana tersalah sasaran, niat asal mereka untuk menembak burung.

Rozi-Jidin-peluru-tabur
ALOR SETAR: Seorang pelajar perempuan tahun 6 cedera di beberapa bahagian badannya selepas terkena 13 butir peluru penabur yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh seorang penduduk berdekatan rumahnya di Kampung Lubuk Keriang, Mukim Lesong, Langgar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika Nur Syahida Bakar, 12, bersama bapa, ibu dan 2 adiknya sedang makan di bahagian dapur rumah dengan keadaan pintu dapur rumah terbuka.

“Ketika keluarga ini sedang makan, tiba-tiba bunyi letupan menyebabkan bapa mangsa Bakar Saad, 45, membuat pemeriksaan sebelum mendapati butiran peluru bertaburan di atas peti sejuk dan anak perempuannya berusia 12 tahun cedera di beberapa anggota badan.

“Tidak lama kemudian, datang 2 lelaki yang tinggal berhampiran rumah mangsa bersama sepucuk senapang memohon maaf kerana tersalah sasaran, niat asal mereka untuk menembak burung, tetapi tersalah sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bapa pelajar berkenaan yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Setar.

Hasil siasatan polis mendapati 13 butir peluru terkena seluruh anggota badan, iaitu 4 butir pada bahagian dada, 2 butir masing-masing di bahagian kepala, bahu kanan, betis kanan, dan 1 butir masing-masing di bahagian paha, betis kiri serta kanan.

Rozi berkata, kanak-kanak itu dirawat Hospital Sultanah Bahiyah dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ekoran itu, polis menahan 3 lelaki termasuk pemilik senapang berusia 74 tahun, seorang lelaki yang melepaskan tembakan berusia 52 tahun dan rakannya berusia 46 tahun untuk siasatan lanjut, selain merampas sepucuk senapang jenis Short Gun Topper 12 bore yang mempunyai lesen sah.

Beliau berkata, pemilik senjata api berusia 74 tahun itu bagaimanapun dibebaskan kerana faktor usia, selain tidak terlibat dalam kejadian tembakan serta tidak mengetahui anaknya mengambil senapangnya itu.

Rozi menasihatkan pemilik senjata yang sah menyimpan senjata mereka dengan baik bagi mengelak digunakan hingga membahayakan orang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.