Jangan ganggu Kelantan jika tak nak 3 penjuru, kata Tuan Ibrahim

Jangan ganggu Kelantan jika tak nak 3 penjuru, kata Tuan Ibrahim

PAS, yang sebelum ini dirakamkan mahu menawan Selangor, menyarankan pakatan pembangkang supaya menumpukan serangan terhadap negeri yang dimenangi Umno.

ibrahim
HULU LANGAT:
PAS hari ini mahu PKR dan Pakatan Harapan supaya jangan mengganggu Kelantan dan “kerusi tradisi” PAS yang lain.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian di himpunan PAS Selangor di Kuala Kubu Baru hari ini.

“Jangan ganggu kerusi PAS. Bila ada kerusi PAS diganggu, kita bebas bertanding mana-mana termasuk kerusi PKR, Amanah dan mana-mana parti dalam PH,” kata Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Saya tengok banyak gangguan misalnya nak serang Kelantan, dan Amanah nak tanding di Shah Alam. Kita akan pertahankan kerusi di Shah Alam sebab mereka menang atas tiket PAS.”

Beliau memberi peringatan itu beberapa hari sebelum PAS membawa usul memutuskan hubungan dengan PKR pada muktamar 27 April nanti.

Sementara itu, semua perbincangan antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) belum dilaporkan membawa hasil. Pakatan pembangkang mahu PAS bersama rancangan memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan BN pada pilihan raya akan datang.

Tetapi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu video tular Mac lepas dirakamkan mahu PAS memerintah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor, manakala selebihnya terserah kepada Umno.

Sambil meminta Kelantan dan “kerusi tradisi” tidak diganggu, PAS hari ini mencadangkan pakatan pembangkang supaya menumpukan negeri lain.

“Kita harap rakan-rakan dalam PH ingatkan mereka dan akur dengan kerusi tradisi PAS. Kita kena tumpu negeri yang dimenangi oleh Umno,” kata Tuan Ibrahim.

“PAS Selangor dah sedia hadapi PRU akan datang yang akan diadakan bila-bila masa. PAS akan kerahkan seluruh tenaga untuk kerusi yang potensi dimenangi.”

Spekulasi kerjasama antara PAS dan Umno kuat diperkatakan menuju pilihan raya umum ke-14 yang selewat-lewatnya perlu diadakan tahun depan.

Semalam, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam kenyataan meminta pakatan pembangkang supaya jangan bertanding di 80 kerusi yang PAS mahukan pada PRU nanti.

Ini bagi mengelakkan pertembungan 3 penjuru ketika PAS menentang Umno, katanya.

PAS meletakkan sasaran untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen dan tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi tradisi DAP dan PKR.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad bagaimanapun berkata, angka dan kawasan baharu belum dimuktamadkan dan perincian itu masih dibuat oleh jentera pilihan raya sebelum keputusan dimuktamadkan PAS pusat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.