Guan Eng cadang naik surcaj air elak pembaziran

Guan Eng cadang naik surcaj air elak pembaziran

Lim Guan Eng berkata, kira-kira 25% keluarga yang menggunakan air melebihi 35,000 liter sebulan akan terjejas jika surcaj pemuliharaan air dinaikkan daripada 48 sen kepada RM1 bagi setiap 1,000 liter padu.

limguangeng-air
PETALING JAYA: Ketua menteri Pulau Pinang mencadangkan surcaj pemuliharaan air (WCS) dinaikkan sekali ganda bagi mengubah tabiat membazir air di kalangan rakyatnya.

Lim Guan Eng yang dipetik Oriental Daily menyarankan WCS dinaikkan daripada 48 sen kepada RM1 bagi setiap 1,000 liter padu air untuk penggunaan air melebihi 35,000 liter sebulan.

Jika kenaikan itu dilaksanakan, ia bakal menjejaskan kira-kira 25% isi rumah.

Akhbar berbahasa Cina itu memetik Lim ketika menghadiri program Hari Sumber Air Sedunia semalam berkata, NGO selalu menyalahkan tarif air terlalu rendah sebagai punca penduduk di Pulau Pinang mempunyai tabiat buruk tidak menghargai air.

Katanya, beliau tidak dapat menafikan dakwaan NGO itu, sebaliknya perlu mengakui hakikat berkenaan kerana penggunaan air di Pulau Pinang mendahului negeri lain.

Lim bagaimanapun berkata, tarif air tidak akan dinaikkan secara menyeluruh, sebaliknya beliau mencadangkan kenaikan WCS, iaitu isi rumah yang menggunakan air melebihi 35,000 liter sebulan akan terjejas.

Katanya, sejak pelaksanaan WCS mulai 2010, rakyat Pulau Pinang semakin membazir air. Demi mengekalkan kadar tarif air rendah bagi setiap keluarga, subsidi penggunaan air untuk isi rumah yang diberikan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melonjak kepada RM91 juta tahun lalu berbanding RM50 juta pada 2008.

Katanya, Pulau Pinang hanya mengenakan bayaran 32 sen bagi setiap 1,000 liter padu untuk 35,000 liter air pertama sebulan. Kadar itu 50% lebih rendah daripada purata 66 sen bagi setiap 1,000 liter di seluruh negara.

“Hanya penggunaan air melebihi 35,000 liter akan dikenakan surcaj itu,” katanya sambil menambah tarif baru akan dikuatkuasakan sebaik sahaja Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara meluluskan permohonan PBAPP.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, 25% daripada 504,400 isi rumah di Pulau Pinang menggunakan air melebihi 35,000 liter sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.