
Pemuda berusia 27 tahun dari Melaka itu, yang dikaitkan dengan insiden pengeboman kelab Movida di Puchong Jun tahun lepas, lebih aktif di Internet untuk kumpulan IS berbanding berada di lapangan perang.
Dalam laporan semalam, Channel News Asia dipetik lelaki yang tidak mahu dinamakan, yang anaknya pakar bius perubatan yang hidup dengan 2 anaknya di bawah grup IS di Mayadin, Syria, sebagai berkata, tidak banyak dilakukan oleh Wanddy di Syria.
“Anak perempuan saya berkata pada kebanyakan masa dia bekerja sebagai pengawal dan bukan seorang pejuang.”
Katanya: reputasi Muhammad Wanndy Mohamed Jedi kelihatan lebih menonjol di Internet berbanding “keadaan sebenar dia di Syria.”
Dilaporkan awal bulan ini, Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC), Jabatan Perbendaharaan AS telah mengenakan sekatan terhadap ketua IS Malaysia. Ia mengenakan sekatan yang sama ke atas komrad Wanddy di Indonesia, Muhammad Bahrun Naik Anggih Tamtomo.
Sementara itu, The New Straits Times melaporkan, Wanndy diburu di bawah senarai Pengganas Global Tentuan Khas (SDGT) bersama pengganas paling terkenal di dunia.
Dia telah mendapatkan sumber pembiayaan dan menyediakan sokongan operasi untuk kumpulan pengganas itu, selain merekrut pejuang.
Julai tahun lepas, Wanndy dipetik oleh Astro Awani sebagai berkata, dia tidak mengeluarkan arahan kepada kedua-dua lelaki yang ditahan berkaitan dengan letupan Movida itu, dikatakan serangan pertama oleh IS di Malaysia.
“Ini adalah satu tuduhan serius bertujuan untuk menjadikan mereka yang ditahan kambing hitam. Mereka (polis) mereka cerita sebagai membalas dendam terhadap saya dan manipulasi fakta untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu semasa di Malaysia, yang semakin teruk,” kata Wanndy dalam Facebook pada 5 Julai.
“Mereka yang ditahan adalah penyokong semata-mata, yang menyatakan sokongan terhadap pemerintahan Islam, dan mereka tidak pernah menerima arahan daripada saya untuk melancarkan serangan ke atas pemimpin-pemimpin dan hakim-hakim, seperti didakwa oleh (Ketua Polis Negara) Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam sidang akhbarnya.”
Beliau bagaimanapun berikrar untuk membalas dendam mereka yang “dianiaya” oleh pihak berkuasa Malaysia dengan melancarkan serangan besar-besaran di sini.
Pihak polis menamakan Wanndy sebagai orang yang memberi arahan melakukan serangan pada 28 Jun lalu di mana 8 orang yang menonton perlawanan bola sepak Euro pada 2.15 pagi di pub Movida, cedera.
Laporan Channel News Asia juga memetik ahli perniagaan itu sebagai berkata, ramai rakyat Malaysia mendaftar untuk menjadi pengebom berani mati di Syria.
“Senarai ini sangat panjang,” kata beliau dipetik berkata.
Mengimbas kembali maklumat yang dikemukakan oleh anak perempuannya, lelaki itu berkata, ramai lelaki Malaysia yang pergi ke Syria untuk menyertai IS terbunuh dalam pelbagai pertempuran kerana kumpulan itu menerima tekanan dari serangan udara, tentera darat dan di Syria dan Iraq, kata laporan itu.
“Anak perempuan saya berkata kebanyakan rakyat Malaysia yang kini berada di Syria adalah wanita kerana ramai daripada suami mereka telah meninggal dunia dalam pelbagai pertempuran,” kata ahli perniagaan itu lagi.
Anaknya sendiri telah menjadi janda selepas suaminya, kelahiran Terengganu, yang dikenali sebagai Mohd Amirul Ahmad Rahim, 26, yang menjadi pengebom berani mati.