
Penyelaras COAC Colin Nicholas berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini mengumumkan 9,300 hektar tanah di 7 kampung Pos Belatim, Gua Musang kekal sebagai tanah adat Orang Asli suku Temiar.
Tujuh kampung yang dimaksudkan itu adalah Kampung Belatim, Kampung Chachuk, Kampung Cegrok, Kampung Cermal, Kampung Sempadek, Kampung Belanga and Kampung Kenben.
Hakim Zainal Azman Abdul Aziz juga mengarahkan kerajaan Kelantan dan Jabatan Tanah dan Galian membayar RM50,000 kepada 2 orang wakil 7 kampung Orang Asli tersebut, Angah Along dan Hassan Alang.
Bagaimanapun, Nicholas berkata keputusan hari ini hanyalah 1 daripada 7 kes yang dimenangi Orang Asli.
“Masalahnya kerajaan tidak mengiktiraf semua keputusan mahkamah sebelum ini,” katanya kepada FMT.
“Kami harap kerajaan Kelantan akan melakukan lebih baik daripada kerajaan persekutuan dan negeri lain, dan mengiktiraf semua kawasan tradisional Orang Asli sebagai tanah Orang Asli.”
Nicholas berkata keputusan mahkamah hari ini bererti selama ini pihak berkuasa yang melakukan kesalahan, bukannya Orang Asli.
“Ini bermakna pihak berkuasa yang membuat tuduhan terhadap Orang Asli itulah sebenarnya yang menyebabkan masalah, yang menceroboh dan melakukan kesalahan.
“Tanah itu kini milik Orang Asli. Jika kamu mahu masuk atau membalak, sila dapatkan kebenaran mereka terlebih dahulu.”