Lebih 13,000 saman dalam 5 hari, MoT kecewa sikap pemandu

Lebih 13,000 saman dalam 5 hari, MoT kecewa sikap pemandu

Sebanyak 13,096 saman dikeluarkan hanya dalam tempoh 5 hari selepas Awas dan Kejara dikuatkuasakan 15 April lalu.

Saripuddin-Kasim_jala_saman_600
ALOR SETAR:
Lebih 13,000 saman dalam 5 hari sejak penguatkuasaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik(Awas) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) menunjukkan sikap pemandu negara ini masih di takuk lama.

Kekecewaan itu dilahirkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 13,096 saman dikeluarkan hanya dalam tempoh 5 hari selepas Awas dan Kejara dikuatkuasakan 15 April lalu.

Jumlah itu meliputi 11,556 saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan 1,540 saman kerana melanggar lampu isyarat merah.

“Lebih 13,000 saman telah dikeluarkan dalam tempoh 5 hari, namun tiada mata demerit dikenakan kerana mata demerit hanya diberikan selepas kompaun dibayar dan akan dikenakan kepada pemandu kenderaan dan bukan pemilik kenderaan.

“Jumlah saman yang banyak ini menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang sukar untuk mengubah sikap semasa di jalan raya walaupun sistem ini telah dilaksanakan,” katanya dipetik Bernama.

Terdahulu beliau menghadiri Program IM4U anjuran Persatuan Suri & Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia Cawangan Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.

Sistem yang dilaksanakan bagi membantu mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian hanya melibatkan kesalahan melibatkan had laju dan pelanggaran isyarat lampu merah.

Saripuddin berkata, sebanyak 14 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) telah dipasang seluruh negara dan kementerian akan menambah lagi jumlah kamera selepas ini bagi memudahkan mengesan pengguna yang melakukan kesalahan lalu lintas.

“Pengguna perlu turut sama memberikan kerjasama dan sokongan bagi membolehkan jumlah kemalangan dan kematian menurun. Ini penting untuk keselamatan bersama pengguna jalan raya dan bukan semata-mata kerana mahu mengelak daripada dikenakan mata demerit,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 membolehkan pesalah jalan raya dikenakan 2 hukuman serentak iaitu kompaun dan pemotongan mata demerit seperti yang dilaksanakan di bawah Awas.

Katanya, tanggapan yang mendakwa Awas bertentangan dengan prinsip undang-undang atau ‘double jeopardy’ seperti mana yang termaktub dalam Perkara 7 (2) Perlembagaan Persekutuan, adalah tidak benar.

Pesalah jalan raya kena 2 hukuman serentak di bawah Awas, kata menteri

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.