Ahli arkeologi temui tulang 5,000 tahun di P Pinang

Ahli arkeologi temui tulang 5,000 tahun di P Pinang

Tulang ditemui semasa proses kerja penanaman cerucuk untuk pembinaan galeri neolitik di tapak zaman batu Guar Kepah

Lim-Guan-Eng_tulang_penang_600
GEORGE TOWN:
Tulang baru berusia sekurang-kurangnya 5,000 tahun ditemui ahli arkeologi di tapak zaman batu di Guar Kepah, Butterworth, Isnin lalu, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Kerajaan Pulau Pinang sangat teruja dengan penemuan baru itu kerana tapak itu lebih tua daripada tapak arkeologi Lembah Bujang, Kedah.

Menurut Guan Eng, penemuan berlaku semasa proses kerja penanaman cerucuk untuk pembinaan galeri neolitik baru di tapak itu.

Ahli arkeologi menemui satu tengkorak, tulang paha dan tulang rusuk.

Tapak ini terletak di sebelah Sungai Muda, sempadan utara Pulau Pinang dan Kedah, kira-kira 1 jam perjalanan dari bandar Butterworth.

Guan Eng berkata penemuan dilakukan ahli arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang diupah kerajaan, diketuai Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Prof Dr Mokhtar Saidin.

Pada sidang media di Komtar hari ini, Mokhtar berkata tulang ditemui di bawah lantai rumah yang baru-baru ini diratakan untuk pembinaan galeri neolitik.

Tulang itu ditemui tertanam 70cm di bawah tanah, semasa jentera Jabatan Kerja Raya (JKR) memulakan kerja penggalian.

“Apabila saya melihat simen digunakan di dalam rumah itu, saya mengesyaki sesuatu di bawahnya.

“Semasa penggalian awal, saya beritahu pihak JKR supaya berhenti untuk kita membuat siasatan.

“Penemuan ini sangat penting kepada negara, dari sini kita boleh memjelaskan bagaimana penduduk di sini hidup, apa yang mereka makan dan banyak lagi,” katanya.

Mokhtar berkata, terdapat 3 buah rumah terletak di bahagian atas “timbunan sisa cangkerang” di tapak itu.

Beliau berkata pada zaman batu, timbunan sisa cangkerang atau “shell mound” digunakan untuk mengebumikan mayat yang biasanya ditanam sekurang-kurangnya 18m di bawah timbunan itu.

Mokhtar berkata, British pernah mengalihkan timbunan itu semasa penggalian pada 1860, tetapi mereka mungkin tidak mengesyaki terdapat banyak lagi penemuan di bahagian lebih dalam.

“Daripada siasatan awal, kami dapati mayat ditanam dalam kedudukan terlipat, kami juga menjumpai tembikar dan kulit cangkerang,” katanya.

Guan Eng berkata kerajaan melanjutkan geran bernilai RM20,000 kepada Mokhtar dan pasukannya untuk alat penggalian, gaji pekerja, analisis, penentu umur karbon dan analisis saintifik.

“Kerja penggalian diarahkan berhenti dan pembinaan galeri ditunda, kami akan menyambung semula jika Mokhtar kata ia boleh diteruskan,” katanya.

British menemui tulang dari zaman batu neolitik pada lewat 1800-an di tapak Guar Kepah, yang baru-baru dikenalpasti untuk dijadikan muzium dan galeri zaman batu.

Terdapat 37 tulang ditemui ahli arkeologi Sir G W Earl yang kini tersimpan di Leiden, Belanda.

Kerajaan Pulau Pinang sedang berunding dengan mereka untuk menghantar pulang penemuan itu untuk diletakkan di galeri baharu.

Galeri bernilai RM777,000 itu bercirikan adaptasi kehidupan laut 5,000 tahun lalu.

Tapak Guar Kepah merupakan tapak penggalian dan kajian arkeologi pertama di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.