
Mohamad yang juga dikenali Mat Sabu menganggap bekas perdana menteri itu satu-satunya pemimpin yang mampu mengubah persepsi itu.
“Memang sukar mengubahnya. Pemikiran ini sudah didoktrin dalam pemikiran orang Melayu begitu lama, sejak selepas negara mendapat kemerdekaan.
“Dan pada zaman Mahathir ‘Ketuanan Melayu’ ini diperkukuhkan. Maka hanya dia yang boleh merungkainya,” katanya dalam wawancara di pejabat FMT semalam.
Mat Sabu berkata pemikiran tersebut menyebabkan orang Melayu sanggup menerima pemimpin sama bangsa walaupun yang mengamalkan rasuah dan korup, di samping ketakutan tidak berasas terhadap kaum lain.
Katanya, Dr Mahathir mempunyai imej pejuang orang Melayu, dan mampu mematahkan hujah nasib Melayu tidak terbela tanpa Umno.
“Dr Mahathir perlu beri keyakinan orang Melayu akan tetap selamat dan masih majoriti,” katanya.
Dr Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun, dan pernah dilabel sebagai “ultra-Melayu” oleh Tunku Abdul Rahman yang pernah menyingkirkannya daripada Umno pada 1960an.
Dr Mahathir kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), parti dianggotai Melayu dan Bumiputera lain yang baru-baru ini menjadi rakan ke-4 dalam kerjasama Pakatan Harapan.
Mat Sabu memahami amat sukar membayangkan negara yang bukan diterajui Umno dan Barisan Nasional.
Ini kerana parti itu sudah lama memegang tampuk pemerintahan.
“Memang susah untuk jatuhkan buat kali pertama. Tetapi sebaik sahaja melepasi proses itu, amat mudah untuk tukar mana-mana pemerintah yang korup termasuk Pakatan Harapan.
“Dan ia tentu sekali baik untuk rakyat,” katanya lagi.