
Ahli Parlimen Kulai menggesa sokongan parti kedua belah pihak kerana soal izin tidak relevan dalam jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Ini kerana kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan untuk memberi keizinan atau dipersiapkan sebagai pengantin untuk hubungan seks secara sukarela, kata Nie Ching dalam kenyataan hari ini.
“Seorang pedofil ialah seseorang yang tertarik secara seksual terhadap kanak-kanak. Pedofil seorang penjenayah tapi orang yang berkahwin dengan gadis bawah umur bukan penjenayah?” katanya.
Semalam di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata larangan perkahwinan kanak-kanak tidak termasuk dalam rang undang-undang terhadap jenayah seksual kanak-kanak.
“Terdapat peruntukan tertentu dalam perkahwinan kanak-kanak. Rang undang-undang hari ini adalah untuk menangani serangan seksual,” kata beliau lapor The Star.
“Ya, menyentuh kanak-kanak secara seksual adalah salah tapi apabila mereka berkahwin, ia jadi tidak salah dan bukan satu jenayah di bawah rang undang-undang ini.”
Azalina bagaimanapun menambah perkara tersebut ditentukan mengikut kes, menurut laporan itu.
Hari ini, Nie Ching menegaskan negara majoriti Islam seperti Algeria, Mesir dan Maghribi mengekalkan usia 18 sebagai umur minimum untuk berkahwin.
Nie Ching, yang memperjuangkan pengharaman perkahwinan di kalangan kanak-kanak berkata, lebih 9,000 perkahwinan kanak-kanak direkodkan di Malaysia dalam tempoh 5 tahun lalu.
“Gadis bukanlah pengantin,” katanya.