Bekas pengarah perhutanan Terengganu didakwa rasuah

Bekas pengarah perhutanan Terengganu didakwa rasuah

Datuk Azmi Nordin yang kini bertugas sebagai pengarah Bahagian Silvikultur dan Pemeliharaan Biologi Hutan, Pejabat Hutan Semenanjung, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

azmi-nordin
KUALA TERENGGANU: Bekas pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas 3 pertuduhan menerima rasuah untuk kelulusan pembalakan daripada seorang kontraktor berjumlah RM60,000, 4 tahun lalu.

Datuk Azmi Nordin, 58, yang kini bertugas sebagai pengarah Bahagian Silvikultur dan Pemeliharaan Biologi Hutan, Pejabat Hutan Semenanjung, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan RM30,000 pada 3 Mac 2013 melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Azhar Nordin daripada kontraktor balak Yew Keong Fah untuk memperoleh kelulusan membalak di Kompartmen 36b dan 40a, Hutan Simpan Hulu Terengganu, Mukim Tersat, Daerah Hulu Terengganu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima suapan RM20,000 pada 16 Jun dan RM10,000 pada 13 Ogos tahun sama daripada Yew melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Syarikat D Laman kulturakebunan bagi mendapat kelulusan membalak di tempat sama.

Azmi didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 8 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hayatuddin Mohamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.