
Datuk Nadzri Siron yang dipetik Sin Chew Daily berkata, sistem demerit akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan 20 mata demerit pertama akan diberikan amaran, 20 mata demerit seterusnya digantung lesen selama 6 hingga 8 bulan dan 20 mata demerit ke-3 akan dibatalkan lesen memandu.
Katanya, jika pemandu dalam tempoh ditetapkan mematuhi peraturan jalan raya, mata demerit mereka akan dikurangkan.
“Pihak berkuasa akan memasang AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik) di tempat sesuai berdasarkan peruntukan dan keperluan kerana jika letak terlalu banyak AES, orang ramai akan marah dan pihak berkuasa akan membuat pengumuman kemudian,” katanya dipetik akhbar itu semalam.
Sistem Awas menggabungkan AES dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).
Buat masa ini, terdapat 14 AES dipasang di seluruh negara, termasuk masing-masing 7 di Selangor dan Perak.
Nadzri berkata, pihaknya akan memasang AES mengikut keperluan di setiap negeri supaya sistem Awas boleh dilaksanakan di seluruh negara.
Katanya, lebih banyak kesalahan seperti memandu dalam keadaan mabuk, memandu secara berbahaya dan menyalahgunakan lorong kecemasan akan disenaraikan di bawah sistem Awas.
Beliau berkata, ketika ini, hanya JPJ yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan sistem Awas. Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ia bergabung dengan sistem saman polis.