Bapa tunggal hadapi tuduhan pengubahan wang haram RM450,000

Bapa tunggal hadapi tuduhan pengubahan wang haram RM450,000

Tertuduh yang bekerja sendiri menawarkan perkhidmatan dalam bidang perakaunan, dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam (M) Berhad, Kemaman.

Hazrin-Izzuddin-Jamaluddin
KEMAMAN: Seorang bapa tunggal anak 3 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan terbabit kegiatan pengubahan wang haram berjumlah RM450,347.

Hazrin Izzuddin Jamaluddin, 44, yang bekerja sendiri menawarkan perkhidmatan dalam bidang perakaunan, dituduh melakukan kesalahan itu antara 20 Oktober 2014 hingga 26 Januari 2015 di Bank Islam (M) Berhad, Jalan Kubang Kurus, di sini.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ashikin Mokhtar bagi kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan semula kes bersama-sama pertuduhan lain yang dihadapi tertuduh pada 3 Mei depan.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.