Tanding sendiri ada hikmah, kata ketua Ulama PAS

Tanding sendiri ada hikmah, kata ketua Ulama PAS

Mahfodz Mohamad berkata, pihaknya tidak mahu pertarungan 2 penjuru kerana ia akan membawa kekalahan teruk kepada pihaknya.

Mahfodz-Mohamed_pas_600nw
PETALING JAYA:
PAS lebih cenderung kepada pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sambil menyifatkan persaingan secara bersendirian juga ada hikmah bagi parti itu.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata, pihaknya sudah berusaha untuk meneruskan hubungan dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selain mewujudkan blok ketiga Gagasan Ikatan, tetapi jika ditakdirkan bertanding bersendirian, pihaknya akan menerima keadaan itu.

“Kalau boleh, kita teruskan hubungan yang kita ada dengan parti-parti ini, jadi kita tidak sendirian tetapi andainya memang hanya kita, mahu atau tidak, suka atau tidak, PAS akan bersendirian.

“Mungkin ada hikmahnya di sebalik sendirian itu, satunya kita nak tahu kekuatan kita sendiri dan kita juga boleh teruskan dasar-dasar yang diperjuangkan PAS kerana apabila kita bekerjasama kita kena tolak ansur, tidak boleh bawa Islam semua sekali ke? Jadi ada pro dan kontra, walaupun dari segi kemenangan belum tentu.”

Dalam temu bual disiarkan Sinar Harian, Pesuruhjaya PAS Johor ini memberitahu, jika pada masa-masa lalu pihaknya menang kerana ada sokongan orang bukan Islam dan kaum lain, tetapi memandangkan wakil rakyat mereka bekerja rajin dan terus mesra pengundi tidak kira kaum, mungkin pengundi yang mengundi PAS akan terus memberi undi.

“Jika dulu 80 peratus sekarang mungkin 40 peratus, namun bagi Melayu kita lihat jika dulu 60-40 peratus antara Umno atau PAS, tetapi kalau sendirian Melayu mungkin beri ‘swing’ kepada PAS.”

Beliau berkata pihaknya tidak mahu pertarungan 2 penjuru kerana ia akan membawa kekalahan teruk kepada pihaknya.

“Apabila 3 penjuru lawan Umno, dan parti pembangkang lain belum tentu siapa akan menang. Tapi PAS parti lama, kita punya penyokong ramai, ada kerusi yang boleh menang walaupun bersendirian, kerana orang PAS yakin kemenangan di tangan Allah SWT.

“Sebab itu PAS tidak kecewa, kalah selalu tapi menang sekali-sekali tapi kita tidak keluar parti, yang keluar itu kerana dia kecewa,” katanya.

Dalam temu bual dengan FMT Disember lepas, beliau tidak menolak kemungkinan akan membentuk kerajaan campuran dengan mana-mana parti lain termasuk Barisan Nasional (BN), asalkan parti Islam itu dihormati.

“Sekarang ini PAS bersendirian dan PAS hanya dengan Ikatan dalam blok ketiga pembangkang, jadi kalau keputusan pilihan raya umum nanti gabungan itu yang menguntungkan PAS, mungkin boleh bentuk kerajaan dengan parti lain,” kata beliau.

Bagaimanapun awal minggu ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak kemungkinan pihaknya akan menyertai BN ataupun menjalin hubungan dengan Pakatan Harapan.

Kenyataan itu dikeluarkan seminggu selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diterima sebagai anggota keempat Pakatan Harapan.

Exco PAS di Selangor sedia letak jawatan

Mengenai hubungan PAS-PKR, Mahfodz berkata, usul itu telah dibawa oleh Dewan Muslimat pada Muktamar PAS tahun lepas.

“Jadi dekat setahun, maka sudah sampai kepada perbincangan Majlis Syura Ulama sebenarnya dan pengumuman keputusan itu kemungkinan akan dibuat pada Muktamar PAS akhir bulan April (bulan ini), dan kemungkinan juga lepas dari itu.”

Tambah beliau, “kemungkinan ini kerana kita tunggu bila Parlimen hendak dibubarkan kerana kita masih ada hubungan PKR di Selangor dan sebenarnya pimpinan PAS Selangor telah bersedia.”

“Kalau keputusan sudah dibuat, maka mereka sanggup meletakkan jawatan,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, sebenarnya apabila diputuskan PAS Pusat, pimpinan negeri itu bersedia untuk meletakkan jawatan, tetapi sehingga kini masih belum ada apa-apa keputusan yang muktamad.

“Jadi mereka yang jadi Exco dan lain-lain menunggu sehingga ada keputusan.”

Ulama PAS tidak tolak bentuk kerajaan campuran dengan BN

Hadi: Sertai BN pikul biawak hidup, Pakatan biawaknya lebih besar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.