
Mereka ditemukan selepas sesat hampir 20 jam semasa melakukan pendakian di Gunung Panti.
Ketua polis daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata, kesemua mereka yang ditemui pada 11.55 pagi juga tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mereka yang dilapor sesat ialah Muhammad Firdaus Zainal, 18; Muhammad Nazhan Azhar, 19; Zariqh Indeed, 21 dan Mohd Fakrul Nazmi, kata beliau dalam kenyataan hari ini, yang dipetik Bernama.
Menurut Rahmat, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian daripada bapa Muhammad Firdaus selepas dimaklumkan oleh rakan anaknya menerusi aplikasi WhatsApp petang semalam.
Susulan itu katanya, pasukan mencari dan menyelamat yang turut disertai pasukan bomba dan renjer digerakkan malam tadi bagi mengesan kumpulan pelatih GiatMara terbabit.
Rahmat berkata, selepas ditemui, kumpulan pelatih terbabit dibawa ke Balai Polis Batu Ampat bagi tindakan lanjut.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai yang ingin melakukan aktiviti pendakian agar memaklumkan kepada polis dan agensi berkaitan bagi memastikan pergerakan mereka dipantau.
Sementara itu, ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kota Tinggi Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed yang ditemui di kaki Gunung Panti, berkata operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 1 tengah hari selepas kesemua mangsa berjaya dibawa turun.
“Ini merupakan kes SAR yang pertama untuk tahun ini dan mengikut statistik kita terdapat 7 kes SAR berkaitan kejadian serupa tahun lepas,” katanya.
Laporan Bernama terdahulu menyebut operasi mencari dan menyelamat yang turut disertai beberapa anggota polis dan Jabatan Hutan itu semalam dihentikan pada 6.30 pagi tadi dan disambung semula kira-kira 2 jam kemudian.