
Piremilah Sinasamy, 42, yang diwakili peguamnya Melissa Sasidaran berkata kematian Thanaseelan bukti kegagalan hospital dan doktor merawatnya secara adil sama seperti pesakit lain.
“Thanaseelan dibawa ke hospital, tetapi tidak diberikan rawatan sepatutnya dan dia dihantar semula ke dalam tahanan polis.
“Mangsa meninggal selepas beberapa jam mendapat rawatan di hospital. Bagaimana pihak hospital tidak dapat melihat keseriusan masalah yang dialaminya.
“Ini kegagalan, kerana mereka tidak menjaga pesakit dan merawat Thanaseelan secara adil sama seperti pesakit lain,” kata Melissa kepada FMT.
Thanaseelan ditemui tidak sedarkan diri di lokap polis Balai Bukit Sentosa, Hulu Selangor dan disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada 25 Februari lalu.
Laporan patologi dilakukan Dr Ruzain Rahimi dari Hospital Sungai Buloh mendapati kematian Thanaseelan berpunca daripada keracunan darah akibat ulser gastrik.
Sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh, pada 24 Februari Thanaseelan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu kerana tidak boleh makan dan muntah, kemudiannya dibawa semula ke balai polis untuk terus ditahan.
Terdahulu, Piremilah dan anaknya menyerahkan memorandum tuntutan kepada Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan, Devaraj Subramaniam.
Selain tuntutan agar doktor dan hospital dikenakan tindakan sewajarnya, Piremilah turut menuntut agar siasatan telus, terbuka dan profesional dilakukan dalam kes kematian suaminya.
Sejak kematian suaminya sebulan lalu, Piremilah hilang tempat bergantung dan hilang punca pendapatan.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Anak saya 4 orang, semuanya masih bersekolah. Saya sendiri menghidap penyakit asma dan masih mendapatkan rawatan, ia menyebabkan saya tidak boleh bekerja di kilang,” katanya.
Piremilah yang menetap di Rawang, Selangor berkata beliau masih tidak mendapat mana-mana bantuan dalam bentuk barangan atau kewangan sama ada daripada kerajaan Persekutuan atau negeri.
“Saya sendiri tidak tahu sesiapa yang akan menolong dan sehingga kini masih tidak dapat sebarang bantuan mana-mana pihak. Bayaran sewa rumah juga sudah 2 bulan tertunggak,” katanya.
Memetik laporan The Star Online, Hospital Kuala Kubu mengesahkan Thanaseelan tidak dimasukkan ke wad, sementara jabatan pesakit luar hospital itu tidak dapat mengesahkan sama ada Thanaseelan menerima rawatan atau tidak.
Thanaseelan ditahan di Bukit Beruntung pada 21 Februari kerana dipercayai terlibat dalam jenayah rompakan rumah dan ditahan reman bermula 22 Februari hingga 25 Februari.
Kematian Thanaseelan turut mendapat perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang sedang menyiasat kematian itu.