
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata beliau akan bertemu Fadillah untuk membincangkan cadangan projek itu.
“Saya menyambut baik bantuan beliau dan akan mengutus surat kepadanya dengan memperincikan butiran, isu yang terlibat dan menyatakan kesediaan saya untuk bertemu beliau supaya beliau dapat membantu kami,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Fadillah semalam yang kementerian belum menerima maklumat terkini berhubung kajian kemungkinan dan reka bentuk terperinci cadangan projek terowong dasar laut Pulau Pinang atau jambatan ketiga.
Fadillah berkata pada Mei 2016, kerajaan Pulau Pinang menghantar surat kepada kementerian meminta kelulusan bagi jambatan ketiga tanpa mengemukakan apa-apa dokumen sokongan.
Sehubungan itu, beliau berkata kementerian juga ingin melahirkan kebimbangan mengenai projek itu dan menawarkan bantuan kepada kerajaan Pulau Pinang sekiranya mereka memerlukannya.
Lim berharap kementerian akan terlebih dulu memberi kelulusan kepada kerajaan negeri bagi cadangan jambatan ketiga itu dan kerajaan negeri akan mengemukakan butirannya kemudian disebabkan ia melibatkan kos yang sangat tinggi untuk mengemukakan reka bentuk terperinci projek itu.
“Sekurang-kurangnya beri kami kelulusan untuk membina jambatan ketiga, secara dasar terlebih dulu, kemudian kami akan buat susulan berkaitan butiran projek,” katanya.
Mengulas dakwaan Fadillah kerajaan negeri terlewat dalam menyiapkan kajian kemungkinan bagi terowong dasar laut, Lim berkata ini disebabkan kelewatan dalam pelan induk penebusgunaan tanah.
Beliau berkata kerajaan negeri masih menunggu pelan induk penebusgunaan tanah untuk disiapkan dan ini tidak akan menjejaskan jadual penyiapan bagi keseluruhan projek yang dijangka pada 2027.
Lim berkata setakat Disember 2016, kajian kemungkinan itu siap 87%.