
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPK Kedah Supt Chan Teck Paing berkata kedua-dua lelaki berumur 62 dan 40 tahun itu ditahan pada 14 dan 18 Februari lalu susulan laporan polis yang dibuat seorang pegawai di Bahagian Keselamatan Istana Anak Bukit pada 12 Februari.
“Pegawai keselamatan itu membuat laporan polis selepas menerima mesej kiriman Whatsaap seorang individu yang mahu membuat pengesahan mengenai urusan mengutip dan menerima dana menggunakan nama Raja Muda Kedah bagi membawa balik jongkong emas yang dibawa keluar pihak British semasa pemerintahan British dulu,” katanya.
Katanya, setakat ini sindiket penipuan ini memperdayakan ramai mangsa dengan pulangan lebih RM342,000 sejak mula bergerak aktif pada Disember 2016 di seluruh Malaysia.
“Daripada siasatan yang dijalankan mendapati modus operandi yang digunakan ialah memperdayakan mangsa kononnya akan mendapat ganjaran jika menyumbang dana bagi membawa pulang jongkong emas yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit.
“Mereka juga mendakwa berada di bawah naungan Raja Muda Kedah untuk mengumpul dana bagi tujuan itu selepas perjanjian 200 tahun menyimpan jongkong emas di 2 bank luar negara.
“Mereka memperdayakan mangsa dengan menjanjikan pulangan lumayan di mana setiap sumbangan dana
RM11,000 akan diberi ganjaran sehingga RM300 juta selepas emas itu dibawa balik, itu yang memudahkan mereka diperdaya,” katanya.
Chan berkata aktiviti sindiket itu bergerak aktif di dalam 2 grup Whatsapp yang diwujudkan sindiket di mana satu dikenali “special task force” dengan keahlian 238 ahli dan “special task force 2” dengan keahlian 49 orang.
“Mangsa yang terpedaya terus memasukkan wang ke dalam akaun bank seorang pemilik akaun sindiket sebelum ahli sindiket mengagih-agihkan dana sumbangan kepada ahli sindiket lain sebagai upah penyamaran mereka sebagai Datuk dan Datuk Seri dalam aktiviti itu,” katanya.
Beliau berkata hasil siasatan polis mendapati, mangsa membuat sumbangan antara RM1,000 hingga RM6,000 dan kebanyakan berumur 30 hingga 60 tahun yang ingin mengejar kekayaan sekelip mata.
“Setakat ini, tiada mangsa yang tampil membuat laporan polis dan kita meminta mereka yang terpedaya datang ke balai polis terdekat untuk membuat laporan,” katanya.
Chan berkata polis kini sedang mengesan 3 lagi individu yang dipercayai dalang utama dalam aktiviti ini.
“Yang kita cari ini, sepasang suami isteri berumur 57 dan 60 tahun di alamat terakhir mereka di Jalan Kempas, Johor Bahru dan seorang bekas anggota polis berumur 35 tahun dari Taman Sejati Indah, Sungai Petani. Kita minta mereka tampil untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.